Pelajar 13 tahun cipta rekod MBR kenal pasti 86 bendera negara dalam seminit
Bernama
Jun 7, 2024 16:25 MYT
Jun 7, 2024 16:25 MYT
NILAI: Divyana Prasath yang baru berusia 13 tahun berjaya mencipta rekod baharu Malaysia Books of Records (MBR) mengenal pasti 86 bendera antarabangsa dalam masa seminit.
Divyana mencipta rekod itu selepas melakukan tiga kali percubaan bagi kategori mengenal pasti bendera antarabangsa terbanyak kanak-kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini hari ini.
Anak bongsu daripada dua beradik itu ketika ditemui berkata dia mula meminati tentang bendera antarabangsa menerusi Youtube sejak berusia 11 tahun dan bercita-cita menjadi seorang geologists.
"Selalunya di rumah, saya dapat mengenal pasti bendera ini sekitar 140 hingga 150 bendera dalam seminit, tetapi hari ini saya berasa gemuruh. Saya gembira dapat membuat rekod ini dan berterima kasih kepada keluarga dan guru yang sentiasa percaya dengan kebolehan ini, saya minat geografi," katanya.
Divyana berkata beliau amat berminat menonton program-program berbentuk geografi menerusi Youtube dan berharap suatu hari nanti beliau dapat mengelilingi dunia, menimba lebih banyak ilmu berkenaan negara yang ingin dilawati seperti Ecuador yang terletak di Amerika Selatan.
Sementara itu ibunya S. Tenagari berkata, beliau bersama suami S. Prasath memang sedar minat anaknya yang sering meluangkan masa menonton program berkenaan ilmu pengetahuan am dan kenegaraan di Youtube.
"Kalau ibu bapa lain mungkin risau apabila anak sering menonton perkara-perkara tidak menentu di Youtube, tapi bagi anak kami, dia suka sangat mendalami ilmu berkaitan pelbagai negara. Saya lihat anak kami ini menonton Youtube bukan sekadar hiburan, tetapi dia belajar tentang populasi, budaya dan mata wang pelbagai negara," katanya.
Perunding Kanan Rekod MBR Edwin Yeoh berkata, Divyana merekodkan pencapaian tertinggi dapat mengenal pasti 86 bendera, berbanding rekod 40 hingga 50 bendera yang dilakukan kanak-kanak lain sebelum ini.
-- BERNAMA