Pekerja selenggara terperangkap 'dalam' mesin ATM
Madiha Abdullah
Julai 14, 2017 11:15 MYT
Julai 14, 2017 11:15 MYT
SEORANG pekerja penyelenggaraan berhadapan situasi mencemaskan apabila terperangkap 'di dalam' mesin ATM, di Texas, Amerika Syarikat, pada Rabu.
Menurut laporan saluran televisyen KRIS TV, kejadian pelik tapi benar itu berlaku apabila lelaki itu dipercayai terperangkap ketika melakukan kerja-kerja selenggara selepas salah satu kunci mengalami kerosakan.
Situasi cemas itu disedari seorang pengguna mesin ATM berkenaan apabila mesin itu mengeluarkan sekeping kertas bertulis tangan.
Ia bertulis "Tolong saya. Saya terperangkap di dalam dan tiada telefon. Tolong hubungi bos saya".
Kertas itu kemudiannya dibawa kepada pihak polis, namun pada mulanya mereka beranggapan ia merupakan satu 'prank' (gurauan).
Namun apabila polis memeriksa mesin berkenaan, mereka dapat mendengar suara lelaki itu meminta tolong dan segera menghubungi syarikat penyelenggaraan tersebut.
Lelaki itu terperangkap selama dua jam, dan dibebaskan selepas identiti dan pekerjaannya disahkan.