Peduli apa dengan puasa, kita terus berhari raya!

Nizam Bakeri
Jun 13, 2016 18:38 MYT
Kemeriahan persiapan Syawal pada bulan Ramadan sememangnya tidak dapat dinafikan - Foto BERNAMA
SAYA masih ingat antara isi perbualan dengan Mama dan Abah ketika pulang ke kampung baru-baru ini untuk meraikan permulaan Ramadan.
“Orang kampung ni Long, simpan duit nak masuk bulan puasa. Nak makan sedap-sedap,” ujar Mama ketika kami dalam perjalanan membeli lauk-pauk.
Lantaran itu pasar besar Machang dan pasar tani di pinggir jalan menuju ke Tanah Merah saya lihat dikerumuni orang sehari sebelum berpuasa.
Kata Mama, semua mahu mendapatkan bahagian daging yang enak.
Bimbang kelak bersahur tidak tertelan andai sekadar dihidang nasi goreng dan air suam.
Antara Ramadan dan Syawal
Kembali ke kota, kemeriahannya serupa.
Yang paling diperkatakan apabila tiba bulan menahan lapar dan dahaga: bazar Ramadan mana menjual murtabak dengan inti tertebal. Atau yang mana perlu dielak kerana air terlalu mahal.
Namun yang lebih menarik perhatian bukanlah kemeriahan Ramadan namun ketaksuban kita menyambut hari raya.
Tiap kali tiba 1 Ramadan, lagu hari raya mula bersipongang di setiap gedung beli-belah yang dihias dengan tema Aidilfitri tersendiri; ketupat gergasi, lampu warna-warni, bahkan replika unta dan pelita ternyala api. Namakan saja!
Anehnya, tidak pernah pula kita dengar dendangan berkenaan bulan puasa (misalnya Harapan Ramadan nyanyian Raihan dan Manbai) berkumandang seawal 1 Syaaban.
Kasihan pada Ramadan kerana bulan kesembilan kalendar Hijri ini tidak mendapat peluang untuk muncul semasyhur jirannya, Syawal.
Raya jadi jenama
Apabila Ramadan menjelma, yang diratib hanyalah raya, raya, dan raya.
Seolah-olah jauh di sudut hati kita bersuara: peduli apa dengan puasa, kita terus berhari raya!
Raya sudah jadi pelaris. Namakan apa sahaja sebagai barangan hari raya, maka berbondong-bondonglah pengguna datang berbelanja.
Baju raya, permaidani raya, televisyen berdefinisi tinggi raya, alat solek raya, pembesar suara raya, rim tayar raya.
Kita jadi serba mahu, serba baharu.
Dan lelehan liur yang tidak tertahan ini sudah pasti mahu dikesat dan ditunaikan pada bulan puasa.
Bila lagi? Kalau ditunggu sehingga saat akhir, kelak cacamarba segala urusan. Terutama sekali bagi yang sudah berkeluarga.
Itu alasan yang munasabah.
Namun yang perlu direnungkan, benarkah segala-galanya perlu bertukar atas nama hari raya? Benarkah Ramadan harus jadi gelanggang untuk kita terkocoh-kocoh ke sana ke mari mengejar jualan demi memenuhkan almari?
Bimbang andai terlupa bahawa kita sebenarnya masih dalam bulan puasa. Masih dalam tempoh yang diseru Tuhan agar bersederhana dan menambah pahala.
Maafkan kami, Ramadan
Semoga tahun ini, berbanding sebelumnya, kita berusaha untuk meletakkan Ramadan di tempatnya.
Sambil membelek koleksi tudung dan selendang
jangan pula ratib dan sujud dilepas pandang
Sambil menyampul wang hijau dan biru
dihulur sedikit pada yang perlu
Sambil memilih warna busana sekeluarga
diselit jua doa agar semua dipelihara
Berikan masa untuk Ramadan.
#berita Ramadan #jendela ramadan
;