PAU2017: Rojak percuma antara menu laris 'Food Truck Rakyat'
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 7, 2017 14:16 MYT
Disember 7, 2017 14:16 MYT
'Food Truck Rakyat' yang menawarkan pelbagai menu makanan secara percuma menjadi tumpuan perwakilan dan pengunjung yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017).
Antara yang menjadi pilihan adalah rojak percuma yang disediakan food truck Rojak Cendol; dengan 650 rojak habis dalam tempoh 45 minit.
Menurut pengusaha food truck Rojak Cendol, Meeza Maisara Samsul Kamal selain menu utama iaitu rojak, pengunjung boleh menjamu cendol dan mee goreng yang disediakan buat pengunjung.
“Peluang menyediakan makanan di PAU2017 membuka peluang kepadanya untuk mempromosikan jenama syarikat serta makanan yang ditawarkan kepada warga kota," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Kepada pengunjung yang hadir ke PAU2017, sajian percuma diberikan bermula 7 hingga 9 Disember ruang legar luar aras empat, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengunjung yang hadir menyifatkan inisiatif tersebut dapat meringankan beban perbelanjaan pengunjung dari luar ibu kota yang hadir ke perhimpunan tersebut.
Dalam pada itu, terdapat pelbagai menu menarik yang boleh anda nikmati termasuk Nasi Kerabu, Nasi Lemak Royale Kedah dan Laksa.