Patung Francissca Peter tanda penghormatan Wesley Hilton

Astro Awani
September 26, 2023 21:38 MYT
Aspek yang paling mencabar dalam pembuatannya adalah mendapatkan kain yang sepadan dengan Baju Kurung pastel yang dipakai Francissca. - Foto Wesley Hilton
KUALA LUMPUR: Francissca Peter, nama yang tidak asing lagi buat peminat muzik tanah air, terutamanya mereka yang merasai kegemilangan muzik 90an.
Gemersik suaranya sentiasa memukau, lagunya juga malar segar dan sehingga kini menjadi siulan.
Maka tidak hairanlah, Wesley Anak Juntan, lebih dikenali dengan jenama Wesley Hilton menghasilkan patung khas penyanyi tersebut.
Semuanya sebagai tanda penghormatan kepada penyanyi ikonik Malaysia itu yang terkenal dengan lagunya, Sekadar Di Pinggiran.
Kisah Wesley bermula ketika pandemik COVID-19, secara tepatnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika dia menghasilkan patung menarik, antaranya The Bordeo Dolls.
Pada waktu itulah, dia memutuskan untuk meneroka hatinya lebih dalam - cintanya kepada pakaian tradisional dan patung Barbie.
Menggabungkan dua ‘cinta’ itu, maka terhasillah patung-patung unik dan Datuk Francissca Peter menjadi inspirasi dan sentuhan terbaharunya.
“Saya berasa sangat gembira dapat mencipta patung untuk Francissca Peter kerana saya melihatnya sebagai legenda hidup dalam industri muzik kita.
“Saya membesar dengan mendengar muziknya, terutamanya semasa musim Krismas apabila dia akan menyanyikan lagu-lagu Krismas di televisyen.
“Dia adalah salah satu penyanyi bukan Melayu yang paling berjaya dan saya merasa diwakili olehnya dalam industri yang kebanyakannya dikuasai oleh orang Melayu,” katanya, yang mudah didekati penggemar karya seninya menerusi akaun Instagram @wesleyhilton.
Patung Francissca Peter adalah sebuah karya unik, dihasilkan dengan teliti untuk menyerupai penampilan ikoniknya di Anugerah Juara Lagu (AJL) pertama pada tahun 1986.
Aspek yang paling mencabar dalam pembuatannya adalah mendapatkan kain yang sepadan dengan baju kurung pastel yang digayakan penyanyi itu.
Patung itu juga disertai dengan piala AJL yang dihasilkan dengan teliti, mikrofon, dan aksesori yang mencerminkan apa yang dipakainya pada malam bersejarah itu.
Untuk melengkapkan penampilan, patung itu juga mempunyai gaya rambut bergelombang yang klasik dan solekan yang membangkitkan memori pada era tersebut.
Kesungguhan Wesley Hilton dalam memelihara budaya Malaysia melalui patung buatan khasnya tidak hanya menawan para kolektor, tetapi juga berfungsi sebagai alat perwakilan budaya bagi komuniti asli.
Patung Khas Francissca Peter adalah bukti komitmen Wesley Hilton dalam menghormati warisan budaya Malaysia dan legenda muziknya.
#Francissca Peter #penyanyi #Sekadar Di Pinggiran #Wesley Hilton
;