'Pasti syurga tempatmu, anak,' nukilan hiba bapa muda jadi perhatian netizen
Madiha Abdullah
Oktober 26, 2015 09:54 MYT
Oktober 26, 2015 09:54 MYT
Kehilangan orang yang tersayang bukan satu perkara mudah untuk dilalui, malah mungkin menjadi pengalaman paling pahit dalam kehidupan seseorang.
Begitu yang terjadi kepada pemilik Facebook dengan nama Mohammad Naim bin Abdullah ini.
Justeru tidak hairanlah, status luahan hatinya selepas pemergian anaknya mengundang simpati netizen.
Melalui status berkenaan, Naim berkongsi bagaimana kegembiraan yang dirasai apabila bayinya selamat dilahirkan, menjadi satu kesedihan yang tidak terhingga apabila si comel itu pergi menghadap Illahi hanya selepas sehari dilahirkan.
Lebih menghibakan, anak yang diberi nama Muhammad Adam Fawwaz itu dilihat sihat dan tidak punya sebarang masalah kesihatan ketika dilahirkan.
Biarpun sedih, namun Naim mengakui dia tetap bersyukur kerana punya seorang anak yang dijanjikan syurga.
Adam dilahirkan pada 21 Oktober 2015, dan meninggal dunia pada 22 Oktober 2015.
Dalam status itu, Naim tidak menjelaskan punca anaknya itu meninggal.
Status itu menerima hampir 43 ribu likes dan lebih 12 ribu perkongsian.