Pasangan moden ikut peranan gender konvensional

AFP RELAXNEWS
Januari 25, 2013 16:10 MYT
Pasangan yang menolak tradisi dan tinggal bersama tanpa mengikat talian perkahwinan masih mengambil peranan gender secara tradisional dalam mengurus isi rumah.
Menurut satu kajian oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, apabila melibatkan perkara seperti memasak dan membersih rumah, pasangan-pasangan ini masih terikut dengan cara tradisional di mana wanita akan mengambil tanggungjawab penuh menjaga keadaan rumah.
Menurut pengkaji, wanita yang bersekedudukan kebiasaannya akan membuat kerja rumah lebih daripada pasangan mereka walaupun mereka bekerja sepenuh masa dan pasangan lelaki mereka tidak bekerja.
“Apabila lelaki tidak bekerja, mereka tidak melihat kerja rumah sebagai satu keperluan yang memerlukan sumbangan mereka,” kata pengarang bersama, Sharon Sassler, pensyarah analisis dasar dan pengurusan di Universiti Cornell. “Malah, mereka akan menjadi lebih berat tulang dan enggan memberi sumbangan mereka di rumah kerana menganggap situasi ini mencabar sifat kelelakiannya.
“Apabila lelaki memperoleh pendapatan tinggi daripada wanita dan pada masa yang sama wanita tersebut juga bekerja sepenuh masa, mereka akan merasa perlu untuk menyumbang sesuatu untuk mengekalkan isi rumah seperti memasak dan mengemas,” tambah Sassler.
Walaupun beban kerja rumah dikongsi bersama, wanita kebiasannya akan bertindak sebagai penyelia, kata Sassler.
Satu kajian di Britain yang dikeluarkan Mac lalu mendapati wanita akan menghabiskan sekurang-kurangnya tiga jam seminggu untuk membetulkan hasil kerja yang telah dilakukan oleh pasangan lelaki mereka.
Pengkaji telah menemuramah 30 pasangan bekerja lingkungan umur 19 ke 35 tahun yang tinggal bersama tanpa berkahwin. Penemuan kajian yang diumumkan pada Khamis lalu telah diterbitkan dalam jurnal Kualitatif Sosiologi.
#bersekedudukan #kerja rumah #Universiti Cornell
;