''Parok' orang kita, tiada kesedaran sivik!' - Lelaki ini kutip sampah ditinggal pengguna lebuh raya
Gempak
Mei 3, 2022 09:53 MYT
Mei 3, 2022 09:53 MYT
BARU-BARU ini, kecoh di laman Twitter keadaan pinggir jalan di Lebuhraya CSR yang dipenuhi sampah sarap.
Hal ini difahamkan berpunca daripada kapasiti tinggi kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan yang rata-rata bertujuan pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari raya.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang netizen melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pengguna jalan raya yang dianggap tidak bertanggungjawab.
“'Parok'lah orang kita. Penuh sampah di Lebuhraya CSR! Malunya saya sebagai orang Kelantan.
“Nak buat macam mana bila tiada kesedaran sivik, masa cikgu ajar sivik dulu puak demo tidur dalam kelas,” katanya.
Meninjau respons netizen di Twitter, rata-rata memberikan maklum balas negatif terhadap kurangnya rasa sayang dalam diri orang ramai terhadap alam sekitar.
Begitupun, ada seorang hamba Allah yang ringan tulang dan membantu memungut sampah yang terbuang di sekitar lebuh raya berkenaan.
“Saya dah tolong kutip pukul 10.20 malam 30 April 2022. Harap orang yang balik kemudian tak tambah semula sampah-sampah tu,” katanya.
Individu terbabit juga turut berkongsi rakaman video yang memperlihatkannya mengutip sampah-sampah berkenaan pada waktu malam.
Tindakan pemuda berkenaan mendapat pujian netizen.
“Ni contoh orang tak cakap banyak. Tau-tau je pergi selesaikan masalah, tak perlu caci maki, keji, mengumpat buat dosa kering tapi takda apa-apa tindakan.
"Kudos buat bro dan team,” tutur seorang pengguna media sosial.
*Artikel asal di Gempak