Panduan mencari makanan paling lazat di Sarawak

Madiha Abdullah
Julai 11, 2016 08:00 MYT
Setiap juadah tradisi punya keistimewaan, apa yang diperlukan ialah keterbukaan dalam menerima kelainan yang disajikan.
HEBOH seketika apabila seorang wanita mendakwa sukar mendapatkan makanan yang sedap dan menepati seleranya yang berasal dari Semenanjung.
Tanpa menafikan wujud sedikit perbezaan antara juadah tradisi di Sarawak dan di Semenanjung, sesuatu yang perlu diakui adalah setiap negeri di Malaysia punya juadah tersendiri dan keistimewaan masing-masing. Apa yang diperlukan adalah keterbukaan untuk menerima kelainan yang disajikan.
Di sini kami senaraikan beberapa makanan yang popular di Sarawak, namun diterima secara meluas di seluruh negara (malah dunia juga) sebagai antara juadah pilihan dan paling lazat.
1. Mi Kolok
Sebut sahaja Sarawak, pasti akan terbayangkan hidangan Mi Kolok. Sejenis juadah yang boleh didapati di merata tempat di Sarawak. Ia kebiasaannya dihidangkan bersama sup dan kicap.
Biarpun mudah didapati, ia tetap punya nilai eksklusif yang tinggi kerana sering menjadi pilihan tuan rumah untuk dihidangkan pada majlis rumah terbuka atau keraian.
2. Laksa Sarawak
Laksa Sarawak juga juadah tradisi yang pasti menjadi igauan sesiapa sahaja, juga sering menjadi hidangan utama terutamanya pada musim perayaan atau majlis keraian.
3. Kek Lapis Sarawak
Jika ada dalam kalangan rakan-rakan atau saudara yang berkunjung ke Sarawak, atau balik kampung di Sarawak, pastinya buah tangan yang dikirim ialah Kek Lapis Sarawak.
Biarpun ada dijual di banyak tempat di semenanjung, namun Kek Lapis asli dari Sarawak punya keistimewaan yang sukar ditemui pada kek lapis yang dijual di tempat-tempat lain.
4. Ikan Lumek Salai
Antara hidangan paling popular masyarakat Melanau, Ikan Lumek Salai boleh dimasak sebagai hidangan sambal tumis cili api. Ia juga biasa dimakan begitu sahaja bersama sagu atau digoreng tepung.
5. Umai Sarawak
Masakan ini juga merupakan satu tradisi masyarakat Melanau, diperbuat dari makanan laut seperti ikan dan udang, yang diperap bersama limau, bawang merah dan cili.
6. Mi Dawai
Tidak seperti Mi Kolok atau Laksa Sarawak, Mi Dawai lebih popular dalam kalangan masyarakat tempatan di Sarawak, khususnya di Kuching. Mi Dawai lebih rangup dan rasanya juga berbeza dari mi biasa.
7. Ayam Pansuh/ Manuk Pansuh
Hidangan tradisi masyarakat Iban ini unik kerana ayam dimasak di dalam buluh, dan diadun dengan ramuan yang terdiri daripada bahan-bahan seperti cili padi, bunga kantan dan halia. Hidangan ini popular terutamanya di bulan Ramadan.
8. Ikan Terubuk
Juga antara buah tangan popular dari Sarawak, Ikan Terubuk Masin digemari kerana kepelbagaian resipi selain rasanya yang sedap. Ia boleh digoreng, dibakar malah ramai juga yang memilih untuk memasak sebagai Asam Pedas.
DI MANA NAK MAKAN?
Astro AWANI sempat menghubungi seorang penduduk tempatan di Kuching, Sarawak, Dayang Norazhar dan dia mencadangkan beberapa tempat yang di mana anda boleh menikmati hidangan makanan paling lazat, tidak kira sama ada anda hanya pelancong ataupun menetap di sana.
Dayang juga memaklumkan bahan-bahan asas masakan Melayu tidaklah sukar untuk didapati di Sarawak.
"Pasaraya besar seperti Giant ada bahan-bahan itu. Jika tidak pun, Pasar Ahad di Kubah juga ada dijual bahan-bahan tersebut," katanya.
1. Restoran Lepau, Kuching
Menyajikan masakan tradisi masyarakat Dayak dan Ulu.
2. Restoran King's Curry, Kuching
Penggemar Roti Nan? Ini tempat untuk anda.
3. Raja Ayam Penyet, Kuching
Khusus untuk penggemar ayam penyet, jangan risau kerana ada tempat yang sesuai untuk anda.
4. Top Spot Seafood Centre, Kuching
Apalah makna berada di Sarawak jika tidak menikmati makanan laut terbaik yang boleh didapati di sana? Di sini pelbagai pilihan makanan laut tersedia untuk anda.
#Dayak #makanan #masakan #Melanau #Sarawak
;