Pakar perubatan Amerika Syarikat beri preskripsi senaman ganti ubat-ubatan

Kohilah Sekaran
Mac 16, 2016 09:10 MYT
Pakar perubatan di Boston dilapor merawat masalah kesihatan kronik pesakit mereka menerusi senaman dan bukannya ubat-ubatan. -Foto fail
PAKAR perubatan di Boston, Amerika Syarikat dilapor merawat masalah kesihatan kronik pesakit mereka menerusi senaman dan bukannya ubat-ubatan.
Memetik laporan media antarabangsa, pakar perubatan serta pakar psikologi di beberapa pusat perubatan di Roxbury, Boston kini memberi akses ke pusat gimnasium sebagai penawar penyakit kronik kepada pesakit.
Malah, akses ke pusat gimnasium itu diberi dengan harga yang berpatutan iaitu sebanyak AS$10 sebulan (RM42).
Difahamkan, perkara ini dilakukan dengan kolaborasi pusat gimnasium yang tidak berasaskan keuntungan, Healthworks Community Fitness.
Seorang jurucakap Healthworks Community Fitness, Gibbs Saunders berkata mereka menyediakan akses gimnasium yang berpatutan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah.
Menurut laporan pakar perubatan, pendapatan penduduk di sekitar kawasan tersebut adalah rendah dan sebanyak 70 peratus daripada pesakit mengalami masalah kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, kencing manis dan kemurungan.
"Senaman bukan perubatan baru. Ia adalah kaedah yang lama.
“Saya rasa kita semua kini sedar betapa pentingnya untuk bersenam,” kata doktor Johnson, yang memberi preskripsi senaman kepada pesakitnya di pusat kesihatan yang berpangkalan di Roxbury.
Seorang pesakit darah tinggi, Monisha Long, yang memperoleh preskripsi senaman berkata dia melihat perubahan kesihatan yang drastik selepas melakukan senaman yang konsisten selama dua tahun.
"Badan kita bertujuan untuk bergerak.
"Mengintegrasikan pergerakan dalam aktiviti harian kita membolehkan sistem badan berfungsi secara optimum,” kata pakar perubatan.
#Boston #Doktor #Pakar perubatan di Boston #perubatan
;