Ozlynn cerita kisah malam pertama bersama Johan

Mariah Ahmad
Februari 24, 2017 22:12 MYT
Ozlynn (kiri) memuat naik sebuah gambar berserta kapsyen yang berkongsikan perspektif berbeza mengenai Johan di Instagram mereka - Foto Instagram / @jozlynnhanania
DI SEBALIK perwatakan lucu pengacara dan penyampai radio ERA fm, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau senang dikenali sebagai Johan, ada satu lagi sisi yang mungkin peminat tidak tahu.
Isterinya Rozlinawaty Ismail (Ozlynn) dalam satu gambar Instagram yang dimuat naik baru-baru ini mendedahkan perangai sebenar Johan, berdasarkan pengalamannya pada malam pertama mereka bersama sebagai suami isteri.
Ozlynn tidak pasti sama ada apa yang dilaluinya pada malam pertama itu, turut dialami oleh orang lain.
Namun pastinya, apa yang dilakukan mereka pada malam tersebut, sudah tentunya ‘melahirkan’ satu perasaan yang di luar jangkaan, katanya.
“Aku tidak tahu malam pertama orang lain selepas nikah,” kata Ozlynn memulakan ayat di bahagian kapsyen gambar tersebut.
“Tapi malam pertama aku selepas bernikah, suami membawa Al-Quran di atas katil.”
“Mesti suami aku mahu menguji sama ada aku pandai membaca Al-Quran atau tidak. Dia tidak tahu berapa kali aku sudah berkhatam,” curiga Ozlynn.
Kemudian, apa yang dilakukan Johan membuatkan Ozlynn terdiam.
“Ketika suami membaca Al-Fatihah dalam tulisan Rumi, (aku) terdiam sekejap. Kemudian (dia) menerangkan satu per satu, setiap kali jumpa huruf ‘ba’ dan kenapa huruf berkenaan baris di atas, atau di bawah,” kata Ozlynn, yang memadamkan niat untuk berbangga di hadapan Johan tentang berapa kali dia sudah khatam.
Jelasnya lagi, maksud khatam bagi Johan dan dirinya berbeza.
Selepas malam pertama tersebut, ia telah menjadi rutin bagi pasangan suami tersebut untuk membawa dan membaca Al-Quran sebelum tidur.
Jelas Ozlynn, gambar dan kapsyen yang dimuat naik pada semalam bukan untuk menunjuk tetapi sekadar ingat-mengingatkan. Tambahnya, dia dan keluarga masih banyak lagi ilmu perlu dituntut.
“Banyak lagi kekurangan dalam keluarga kami tapi (gambar ini) hanya sekadar peringatan.
“Kalau kita boleh baca novel sehingga menangis kerana kita memahami isi kandungan tersebut, kenapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada al-Quran? Pesanan kepada diri sendiri, anda belum lagi hebat jika tidak memahami kandungan isi al-Quran,”tambah Ozlynn.
#johan #Johara #Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz #ozzlynn #Rozlinawaty Ismail
;