#OrangKL: 9 rekod dunia dicipta di Kuala Lumpur

Nizam Bakeri
Februari 2, 2016 07:11 MYT
Menara Berkembar Petronas memegang rekod sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia - Foto flickr
BERIKUT merupakan sembilan rekod dunia yang dicipta di Kuala Lumpur dan masih belum dipecahkan sehingga ke hari ini. Semua rekod ini disahkan oleh Guinness World Records:
1- Bangunan berkembar tertinggi
Walau tidak lagi bergelar bangunan tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas masih lagi kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan 88 tingkat itu dibuka pada Mac 1996.
2- Imej panorama terbesar
Rekod ini dicatat pada 6 Ogos 2015 oleh Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing yang menggabung 31 ribu imej individu untuk membentuk imej panorama bersaiz 846 gigapiksel.
3- Menara kawalan lapangan terbang tertinggi
Menara Barat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menyandang rekod ini dengan ketinggian 133.8 meter. Menara ini siap dibina pada 30 April 2013.
4- Kelas silat terbesar
Seramai 12,393 peserta terlibat dalam kelas ini yang diketuai oleh Mahaguru YM Syeikh Dr. Md Radzi bin Hanafi (Malaysia), Pewaris Mutlak Silat Cekak dari Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Malaysia pada 29 Ogos 2015.
5- Kereta api terberat yang ditarik dengan gigi
Rekod luar biasa ini dipegang oleh Velu Rathakrishnan yang menggunakan giginya untuk menarik dua gerabak kereta api komuter KTM dengan berat keseluruhan 260.8 tan. Velu berjaya menarik gerabak itu sejauh 4.2 meter di landasan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2003.
6- Piramid tin terbesar
Pasukan Malaysia Can yang terdiri dari mahasiswa Kolej INTI Subang Jaya berjaya membina piramid menggunakan 9,455 tin aluminimum kosong dalam masa 24 minit pada 23 September 2003 di Midvalley Mega Mall. Piramid tersebut berukuran tiga meter tinggi.
7- Peserta teramai dalam permainan video telefon pintar tanpa henti
Seramai 2,030 orang peserta telah menyertai acara anjuran Nokia Malaysia untuk bermain permainan Angry Birds pada 11 Jun 2011. Seorang pemain akan menyambung permainan yang telah ditamatkan oleh pemain sebelumnya kerana gagal melepasi mana-mana tahap permainan. Mereka bermain selama 10 jam tanpa henti.
8- Terpantas berjalan sejauh sebatu sambil mengimbang bola di atas kepala
Rekod 8 minit 35 saat ini dipegang oleh Yee Ming Low di Kompleks Sukan MPSJ pada 20 Mac 2010. Yee mencapai rekod ini tanpa menjatuhkan bola ini walau sekalipun sepanjang jarak tersebut, walaupun dibenarkan oleh Guinness World Records.
9- Mesin layan diri kapsul terbesar
Mesin setinggi 9.83 meter ini selesai dibina oleh Berjaya Times Square pada 20 Julai 2013 sempena meraikan ulang tahun pasar raya besar itu yang ke-10. Mesin itu berfungsi sepenuhnya seperti mesin layan diri bersaiz biasa.
##orangkl #Guinness World Records Malaysia #rekod dunia di Kuala Lumpur #rekod dunia di Malaysia
;