ODF2023: Festival 'outdoor' Lenggong kembali, sasar 1,500 penyertaan

Hafizi Rosli
Mei 26, 2023 14:22 MYT
Shamsul Anuar (tengah) pada sidang media ODF23 yang berlangsung di ibu negara. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lenggong sekali lagi dipilih sebagai lokasi menjayakan puluhan pengisian dan aktiviti luar atau outdoor serta menghimpunkan komunitinya dalam penganjuran KAHF Lenggong Outdoor Festival 2023 (ODF2023).
Memasuki edisi kedua, festival yang dianjurkan LOCCO kali ini merupakan platform penyatuan pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, lasak, serta ekstrem.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, penganjuran aktiviti ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat secara tidak langsung dengan mempromosikan daerah di Perak ini dalam industri pelancongan negara.
“Saya melihat ODF2023 bertepatan dengan waktunya dalam mewujudkan lebih banyak komuniti yang saling menyokong dan menyantuni usaha murni penganjuran festival yang sihat dan diterima semua.
"Bermula tahun 2012, Daerah Lenggong diiktiraf sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO-Arkeologi Lembah Lenggong dan pada tahun 2021 telah diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-4.
"Lenggong sudah pasti mempunyai keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri," jelasnya dalam sesi sidang media ODF23 di ibu negara pada Jumaat.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk aktiviti perkhemahan, berkayak, memanah, merentas desa, dan pendakian.
Selain aktiviti outdoor, ODF23 turut menyajikan pengisian seperti bengkel, sesi perkongsian serta forum berkaitan aktiviti luar daripada komuniti terlibat.
Ia turut dimeriahkan dengan persembahan muzik santai pada waktu malam oleh kumpulan muzik seperti Teman Lelaki, Cisco, Nami, dan The Mirza.
ODF23 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Jun di Resort Tasik Raban, dengan sasaran penyertaan 1,500 peserta.
Jualan tiket masih dibuka di laman sesawang www.outdoorfest.my serta laman media sosial rasmi ODF23.
#ODF23 #Lenggong #outdoor #Shamsul Anuar Nasarah
;