Nyanyian meruntun hati kanak-kanak Syria undang sebak
Madiha Abdullah
Januari 12, 2016 17:52 MYT
Januari 12, 2016 17:52 MYT
SEORANG gadis cilik dari Syria berjaya menyentuh hati pengguna Internet melalui nyanyiannya iaitu sebuah lagu berjudul A'tuna At- Thofulah (Berikan Kami Zaman Kanak-Kanak).
Lagu tersebut didendangkan Ghana Bo Hamdan ketika sesi uji bakat rancangan The Voice Kids Arab yang baru sahaja bermula minggu lalu.
Memasuki rangkap kedua lagu, Ghana tidak dapat menahan sebak yang memaksanya menghentikan nyanyian.
Salah seorang juri, penyanyi Nancy Ajram, kemudiannya naik ke pentas untuk menenangkan Ghana.
Persembahan Ghana membuatkan dua lagi juri selain penonton studio berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepadanya.
Persembahan penuh emosi itu sekali gus menyaksikan Ghana dapat memasuki peringkat seterusnya.
Lagu 'Berikan Kami Zaman Kanak-Kanak' nyanyian asal Remdi Bandali, yang kini sudah berusia 32 tahun. Ia mengisahkan tentang harapan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang di Syria.