'Nuan Nuan' dipilih nama anak panda gergasi
Astro Awani
April 7, 2016 18:43 MYT
April 7, 2016 18:43 MYT
“Nuan Nuan" yang bermaksud ramah mesra dipilih sebagai nama anak pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang lahir di Zoo Negara, di sini pada 18 Ogos lalu.
Nama itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Khamis.
Nama itu dipilih daripada sejumlah 22,830 penyertaan dalam pertandingan menamakan anak panda gergasi bermula dari 17 November hingga 17 Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sembilan nama disenarai pendek sebelum nama "Nuan Nuan" dipilih.
"Proses pemilihan nama bagi anak panda gergasi yang kini seberat 16.5 kilogram adalah melalui beberapa sesi pemilihan yang teliti iaitu selama hampir dua hingga tiga bulan oleh juri-juri khas dan profesional yang dilantik.
"Sebanyak sembilan nama telah disenarai pendek yang disahkan persatuan pemuliharaan hidupan liar China (CWCA) dan dipersetujui oleh perdana menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Mac lalu," katanya ketika berucap pada majlis penamaan anak panda gergasi di Zoo Negara, Hulu Klang.
Anak panda betina seberat 16.5 kilogram itu mula dipamerkan kepada pengunjung Zoo Negara pada 17 November selepas hampir tiga bulan dikuarantin.
Xing Zing dan Liang Liang merupakan simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China.
Pasangan panda itu tiba pada 21 Mei 2014 menerusi program penjanjian kerjasama konservasi antarabangsa panda gergasi.