Nostalgia beri-beri liar di Kundasang
Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Januari 15, 2019 14:43 MYT
Januari 15, 2019 14:43 MYT
BERI-BERI ya, bukan biri-biri.
Ternakan yang ada di daerah tanah tinggi tercantik Malaysia ini hanyalah lembu tenusu, dibawa khas dari Australia.
Kundasang terkenal dengan jolokan Switzerland Malaysia kerana lanskap pergunungan yang memukau, serta hawa banjaran yang dingin. Ia menjadi salah satu destinasi pelancongan yang wajib di Sabah.
Tetapi ramai yang tidak tahu, Kundasang bukan sekadar memiliki keajaiban geologi Aki Nabalu dan sayur-sayuran hawa sederhana yang segar. Ia juga menyimpan rahsia botani masa silam yang begitu nostalgik.
Mungkin sekarang, orang hanya tahu strawberi Kundasang, yang mula diperkenal sebagai tanaman migran penghujung 80-an. Tapi sebenarnya ada banyak variasi beri asli yang natif kepada daerah ini.
Saya lahir dan membesar di Kg. Soborong (sekarang dikenali Kg. Cintamata) — bahagian lereng lembah utara, betul-betul di bawah kaki Gunung Kinabalu. Pusat urban Kundasang terletak di lembah selatan, dan kedua-duanya dipisahkan oleh Sungai Liwagu.
Hampir empat dekad dulu — saya berjalan kaki 10 kilometer dari Kg. Soborong ke sekolah di kawasan pekan. Sepanjang perjalanan penuh dengan aneka beri-beri liar, yang kami petik sebagai bekal mengisi perut.
Antara yang paling sedap adalah rogimot, yang mempunyai dua variasi — bulat (merah) dan bujur (oren).
Ada juga tandaramai, mobpoloh dan gosing (senduduk dengan tiga variasi — putih, merah dan ungu).
Semua menawarkan kombinasi rasa tersendiri — manis, masam, juga sedikit kelat dan pahit.
Beri-beri asli pergunungan ini, selain jadi sumber vitamin C untuk anak-anak kampung, ia juga menawarkan fungsi ekologi yang signifikan. Buah-buahan ini jadi daya penarik beburung seperti kokou, tutugok dan bubut.
Ini penting untuk menjaga keseimbangan habitat semulajadi. Kerana selain mencicip buah beri, burung-burung ini turut memakan ulat dan larva bagi mengawal populasi serangga.
Kaedah penanaman sayur di Kundasang sekitar tahun 60-an hingga awal 80-an bersifat hampir organik sepenuhnya. Racun dan baja kimia diguna sangat minimal. Sebab burung-burung membantu mengawal kuantiti ulat dan kumbang perosak secara alami.
Sayangnya, pembangunan deras di Kundasang secara perlahan-lahan merampas nostalgia ini. Beri-beri liar tersebut mula pupus di kawasan kebun dan petempatan. Jika ada pun, terpaksa masuk ke hutan simpan Mesilou.
Burung-burung asli pergunungan ini juga tersesar ke ceruk rimba kerana tarikan natural sudah tiada. Ini sekaligus meningkatkan populasi serangga perosak. Lantas kaedah pertanian moden dengan input racun kimia yang tinggi terpaksa merajalela.
Tetapi kenangan yang semakin hilang itu cuba dihidupkan semula di Tanah Warisan SD Dumaring di Kg. Soborong. Ini antara tanah terawal yang diteroka sekitar awal 60-an, di kawasan lembah utara selepas menyeberang Sungai Liwagu.
Ia dibangunkan oleh dua saudara, Sinteh dan Dambul Dumaring, anak jati Dusun dari Bundu Tuhan. Kembara dua beradik ini, yang merentas dua sungai (Pangi dan Liwagu) sebelum tiba di Soborong, melambangkan fitrah asasi etnik Dusun sebagai komuniti peneroka tegar.
Di tanah warisan ini sekarang, sistem pertanian mesra alam dijadikan amalan. Satu laluan yang dipanggil “Koloyongon Walk” (Lorong Asyik) diwujudkan. Sepanjang jalan ditanam dengan beri-beri liar yang natif di Kundasang, suatu ketika dulu.
Sehingga kini, sudah ada sembilan beri-beri liar eksotik yang boleh ditemui: tandaramai, mobpoloh, tinggoron, rogimot bulat, rogimot bujur, lintagu, gosing putih, merah dan ungu. Lorong ini bukan saja memulangkan kenangan silam dan memori gastronomi kanak-kanak yang manis.
Paling penting, Koloyongan Walk dan beri-beri liar ini — satu simbolik tersirat penduduk jati Kundasang yang mahu kembali kepada akar sejarah yang hening dan natural.
Agar generasi baru dan pengunjung daerah pergunungan ini dapat menikmati semula wajah tulen Kundasang yang asli.
* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#beri-beri sabah
#Gunung Kinabalu
#koloyongan walk
#Kundasang
#lorong asyik
#rem dambul
#remdambul
#Sabah
#sungai liwagu
#sungai pangi