Normal baharu: 'Perang' masak tak jadi musim PKP semakin menjadi-jadi

Fauzi Suhaimi
April 20, 2020 09:51 MYT
Jumlah pengikutnya kini mencecah seramai 1.1 juta dalam tempoh seminggu selepas ditubuhkan pada 14 April lalu. - Kredit foto kumpulan Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai aktiviti dilakukan dan antara yang paling ketara ialah cubaan memasak baik golongan lelaki mahupun perempuan.
Susulan daripada itu, wujud akaun kumpulan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official di Facebook dengan perkongsian pelbagai masakan yang kurang menjadi oleh semua pengikutnya.
Tinjauan maya Astro AWANI dalam ruangan kumpulan itu mendapati, jumlah pengikutnya kini mencecah seramai 1.1 juta orang dalam tempoh seminggu selepas ditubuhkan pada 14 April lalu.
Hasil pemerhatian itu juga menyaksikan lebih 100 jenis masakan yang 'indah khabar dari rupa' dan tidak diharapkan oleh pengikutnya dipaparkan di kumpulan tersebut pada hari ini sehingga pukul 4 petang.
Antara yang mencuit hati masakan yang dibuat bukan sahaja keras dek kerana terlebih adunan mahupun hangit berikutan salah masak, tetapi ada juga yang melekat pada tempat adunan dan pinggan.
Berdasarkan pemerhatian, cubaan memasak ini adalah dalam kalangan yang baru berjinak-jinak dalam masakan sebagai mengisi masa terluang dalam tempoh PKP.
Meskipun telah mengikut resipi yang disediakan, namun masih ada yang tersasar sehingga hasilnya bukan sahaja keras atau lembik, malah ada yang terpaksa dibuang sahaja.
Apapun, kata orang tidak salah mencuba biarpun tidak tahu akan hasilnya kelak.
Namun, setiap cubaan itu pasti ada bayangannya sendiri walaupun tidak sama dengan apa yang diidamkan tetapi sekurang-kurangnya menghiburkan banyak pihak.
Kumpulan itu bukan untuk menunjukkan keburukan sesiapapun, sebaliknya sekadar perkongsian hiburan normal baharu dalam musim PKP.
#Astro Awani #Facebook #hiburan #lelaki #Masak Apa Tak Jadi #perang masak #perintah kawalan pergerakan #PKP