Nikmati sebarau bakar sambil saksikan Rafflesia Cantleyi di Kampung Bongor
Bernama
Februari 19, 2017 13:53 MYT
Februari 19, 2017 13:53 MYT
Pengunjung ke hutan simpan kekal Kampung Bongor, Gerik untuk menyaksikan bunga Rafflesia Cantleyi, tidak harus melepaskan peluang menikmati masakan istimewa penduduk kampung berkenaan.
Hidangan yang cukup terkenal di situ ialah nasi yang dimasak dalam buluh disertai ikan sebarau atau talapia bakar yang dicecah dengan air asam atau kicap berlada.
Penduduk kampung itu, Mohd Nazri Abdul Rashid berkata nasi tersebut dimasak dengan kaedah pembakaran seperti memasak lemang.
"Setelah dicuci, beras dibungkus kecil menggunakan daun lirit dan bemban, seterusnya dimasukkan ke dalam buluh berisi air untuk dibakar selama hampir sejam," katanya.
Hidangan ini termasuk dalam pakej lawatan berharga RM50 seorang untuk mereka yang merancang menyaksikan Rafflesia, khazanah alam yang terlindung di hutan simpan kekal itu, terletak kira-kira, 160km dari sini.
Pelawat juga disediakan pemandu pelancong, kata Pengarah Pelancongan Rafflesia Kampung Bongor, Ishak Yahya.
Dalam taklimatnya kepada pemberita di lokasi berkenaan baru-baru ini, Ishak berkata, berbeza dengan Rafflesia di tempat lain, Rafflesia atau bunga Padma di kampung itu berkembang mekar sepanjang tahun tanpa mengikut musim.
Hal ini dikesan sejak tahun 2006, katanya.
Bagaimanapun, untuk melihat keunikan bunga itu, seseorang pengunjung perlu mendaki kaki hutan simpan berbukit selama lebih kurang 45 minit hingga sejam selain sanggup berdepan dengan pacat, kata beliau.
Ishak berkata, terdapat sebanyak 35 populasi Rafflesia Cantleyi di kawasan berkenaan dengan lebih 200 kudup.
"Setiap kudup akan berkembang sekurang-kurangnya untuk tempoh empat hari dengan diameter mencecah hingga 30 sentimeter dan selepas itu ia akan mati," katanya.
Ishak berkata, untuk masuk ke kawasan itu seseorang perlu memaklum dan mendapat kebenaran pihak kampung itu atas sebab-sebab keselamatan.
Setiap pengunjung perlu dipantau untuk memastikan bunga eksotik itu tidak terancam atau dimusnahkan, kata beliau.
-- BERNAMA