Nikmat umur panjang kurniaan terbesar, kata Tun M yang berusia 97 tahun hari ini
Astro Awani
Julai 10, 2022 21:00 MYT
Julai 10, 2022 21:00 MYT
PUTRAJAYA: Ketika sebilangan besar generasi sebayanya sudah terlebih dahulu dijemput kembali ke pangkuan Yang Maha Esa, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang menikmati kehidupan di muka bumi.
Kata negawaran ulung itu, pada usia 97 tahun yang diraikan beliau hari ini, nikmat umur panjang yang ditakdirkan kepadanya adalah kurniaan terbesar.
“Saya bersyukur boleh bangun pada hari lahir yang ke-97 dan boleh bergerak seperti biasa.
“Tidak ada tekanan dan ini sesuatu yang orang mesti rasa syukur kerana apabila kita bangun pagi, bermakna kita masih ada.
“Banyak orang yang apabila tidur, tak bangun dah. Jadi, saya bersyukur,” kata Dr Mahathir kepada Astro AWANI dalam wawancara eksklusif yang dikendalikan Editor Saharudin Musthafa dan wartawan Faye Kwan sempena ulang tahun kelahiran beliau.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Dr Mahathir ketika ditanya siapakah yang lazimnya menjadi orang pertama memberi ucapan kelahiran, kata beliau, tentu sekali Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali isteri yang setia mendampinginya selama 66 tahun.
Dr Mahathir mendedahkan, Dr Siti Hasmah tidak pernah lupa tarikh kelahiran semua ahli keluarga mereka.
“Saya kadang-kadang lupa tentang hari lahir saya tetapi apa yang selalu mengingatkan saya berkenaan dengan hari lahir ialah isteri saya bagi kad selamat hari jadi.
“Dia (Dr Siti Hasmah) pula dilahirkan dua hari kemudian. Jadi, bila dia bagi kad itu bermakna saya (kena) siaplah (kad ucapan) untuk 12 Julai,” ujar Dr Mahathir sambil menyimpulkan senyum paling manis.
Kebetulan, untuk tahun ini, tarikh kelahiran beliau serentak dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.
“Saya bersyukurlah seolah-olah seluruh dunia raikan hari jadi saya,” katanya.
Mengenali sikapnya yang sentiasa bekerja, justeru bagi Dr Mahathir, tiada istilah berehat kepadanya termasuk pada hari lahir.
“Saya tidak pernah berhenti bekerja, bahkan selepas bersara pun, saya ke pejabat untuk bekerja. Begitu juga pada hari jadi, saya bekerja seperti biasa. Tiada beza hari lahir saya dengan hari-hari lain,” kata Dr Mahathir.
Namun begitu, sebagai personaliti yang disayangi dan dikagumi ramai, Dr Mahathir tidak mampu menolak sekiranya ramai orang di sekelilingnya mahu meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya.
Begitu juga dengan inisiatif ahli keluarganya yang juga sentiasa mahu meluangkan masa bersama di hari kelahiran sama ada beliau dan isteri.
"Ada juga sambutan (hari lahir). Kadang-kadang saya dapati orang lain lebih ingat berkenaan birthday saya daripada saya (sendiri). Bahkan, mereka menyediakan kek, datang berjumpa untuk mengucapkan selamat hari jadi dan sebagainya.
"Jadi, saya berasa gembira ada ramai yang bersahabat dengan saya," sambung Dr Mahathir.