Netizen mahu caj penggunaan internet lebih rendah
Nizam Bakeri
Februari 4, 2016 14:14 MYT
Februari 4, 2016 14:14 MYT
ORANG awam khususnya netizen memberi respon terhadap Tinjauan Pengguna Mudah Alih Global 2015 edisi Asia Tenggara kendalian firma antarabangsa Deloitte melalui undian yang dijalankan di laman web dan akaun Twitter Astro AWANI.
Soalan yang diberikan dalam undian berkenaan ialah:
“Apakah penambahbaikan paling kritikal untuk perkhidmatan internet di Malaysia pada masa ini?”
Sebanyak empat pilihan diberikan kepada netizen iaitu meningkatkan kelajuan internet, menambahkan kuota data, meluaskan liputan rangkaian, dan merendahkan caj penggunaan internet.
Lebih 600 undian diterima di laman web dan 4,100 undian di akaun Twitter.
Majoriti netizen dengan undian 45 peratus di laman web dan 39 peratus di Twitter meluahkan keinginan agar caj penggunaan internet direndahkan.
Hal ini dilihat sebagai tindak balas masyarakat terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat dan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Keputusan undian di laman web dan Twitter berbeza untuk pilihan penambahbaikan seterusnya. Di tempat kedua, pembaca di laman web lebih cenderung kepada penambahan kuota data manakala pengguna Twitter mahukan peningkatan kelajuan internet.
Netizen bagaimanapun bersetuju bahawa penambahbaikan dari aspek liputan rangkaian tidak kritikal pada masa ini.
#Deloitte Global Mobile Consumer Survey 2015
#kelajuan internet Malaysia
#Tinjauan Pengguna Mudah Alih Global 2015