Naskhah agung Sulalatus Salatin ke pentas teater

Bernama
November 21, 2024 17:15 MYT
Barisan pelakon pada sidang media sempena Pementasan Purbawara Muzikal Sulalatus Salatin-Kemaharajaan Maritim Selat Melaka 2024 di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Setelah lebih satu dekad diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO serta merekodkan 32 salinan di seluruh dunia, masih ramai khususnya generasi muda di negara ini, belum memahami karya agung Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai sejarah Melayu.
Bertitik tolak dari situ, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sebagai agensi bertanggung jawab mengangkat martabat warisan dan budaya, mengambil inisiatif menyemarakkan pemahaman masyarakat tentang karya agung itu menerusi sebuah persembahan teater berbentuk purbawara muzikal.
Bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 20 Dis depan di Auditorium Panggung Seri, JKKN, Ayer Keroh, Melaka, teater 'Sulalatus Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim' merupakan kerjasama Persatuan Gerakan Seni Anak Seni, CTRA Production, JKKN Melaka serta sokongan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024.
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Keseniaan JKKN Rosnan Nordin berkata penganjuran teater purbawara yang mendapat pengiktirafan UNESCO itu adalah antara usaha menggalakkan penggiat seni mempersembahkan bakat serta mendekatkan generasi muda dengan Sulalatus Salatin.
"Adalah penting mengusahakan Sulalatus Salatin daripada naskhah sastera sejarah yang tinggi nilainya ditaksir serta diterjemahkan ke pentas sebagai usaha pembelajaran bagi generasi muda menghayati karya klasik yang tinggi nilainya," katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Teater berbentuk purbawara muzikal yang bakal dipentaskan itu, menurut pengarahnya Siti Rohaya Atan, berkisar kemaharajaan maritim di Selat Melaka, yang bermula dari Raja Iskandar Zulkarnain hingga jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511.
Dalam penghasilan kandungan skrip teater itu, pengarah teater terkenal ini berkata ia adalah berdasarkan pembacaan dan rujukan buku teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu edisi pelajar yang lebih senang difahami.
"Teater purbawara muzikal ini menggunakan lenggok bahasa Melayu lama tetapi senang difahami oleh semua orang, berbeza dengan kebanyakan teater tradisional yang menggunakan konsep teater bangsawan.
"Kita ambil bab-bab penting, ada permulaan iaitu susur-galurnya, ada klimaksnya iaitu kemuncak kehebatan bangsa Melayu dan penamatnya, bagaimana kerajaan Melayu Melaka dahulu kala boleh jatuh," katanya sambil menambah teater tersebut dijangka berdurasi selama satu jam setengah.
Dalam pada itu, pelakon Norish Karman yang memegang watak Embok Ayu, berkata beliau teruja dapat kembali ke pentas teater selepas kali terakhir beraksi kira-kira 13 tahun lepas menerusi teater Muzikal Terima Kasih Cinta di Istana Budaya.
"Saya teruja kerana saya adalah jiwa teater sejak kecil lagi ketika berumur 12 tahun... dan mungkin juga selama tujuh tahun bertudung ini, saya asyik dapat tawaran berlakon yang dikehendaki untuk tidak bertudung, (saya) jadi sedih.
"Tapi apabila dapat tawaran teater seperti ini yang masih boleh berhijab, saya sangat gembira walaupun sudah lama tidak keluar berlakon drama. Saya rasa ini hadiah gembira untuk mereka (peminat)," katanya.
Biarpun sudah berpengalaman beraksi dalam pentas teater, ibu kepada lapan orang anak ini, berkata antara faktor lain beliau menerima tawaran Siti Rohaya itu kerana ingin menjayakan watak yang berbeza dengan situasi ketika ini.
Merujuk lakonannya dalam filem cereka, Sayang Salmah yang memaparkan situasi masyarakat Melayu sekitar 1955 hingga 1960 di Johor, anak kelahiran Singapura ini berkata beliau menyukai untuk melakonkan watak pada zaman sebelumnya kerana menguji keupayaan seseorang pelakon itu.
"Memang saya suka untuk lakonkan watak yang bukan zaman sekarang kerana kita perlu buat banyak latihan dan membaca. Untuk karakter (Embok Ayu), saya masih lagi samar tetapi insya-Allah, dalam masa sebulan ini cukuplah masa untuk saya kaji.
"Latihan teater ini dijangka bermula mingu depan," katanya sambil menambah sentiasa meluangkan masa menonton teater sebagai terapi jiwa seninya sepanjang tidak aktif dalam dunia lakonan.
-- BERNAMA
#karya agung #sulalatus salatin #pentas teater #JKKN #warisan budaya
;