Nasi goreng sotong emas diserbu
Sinar Harian
Mac 18, 2018 14:24 MYT
Mac 18, 2018 14:24 MYT
Sejak dua minggu lalu kedai makan milik Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Arif Abdullah, 44 tahun di kampung Seberang Pintasan, di sini mendapat kunjungan luar biasa selepas video dan artikel mengenai keenakan hidangan utama di premisnya disiar menerusi akhbar Sinar Harian.
Video berdurasi satu minit yang bertajuk “Sotong emas dicelah nasi goreng” menjadi tular dan ditonton hampir 300,000 pengguna laman sosial Facebook.
Mohd Arif berkata, sejak berita itu disiarkan terlalu ramai pelanggan datang untuk mencuba nasi goreng sotong emas dan ada sebahagian terpaksa pulang hampa kerana hidangan sudah habis.
Menurutnya, dia tidak menang tangan untuk melayan pelanggan walaupun sudah menambah tiga hingga empat pekerja baharu.
“Sejak artikel tu keluar terlampau ramai datang dan bukan hanya penduduk tempatan tetapi dari seluruh Malaysia.
“Ada dari Pahang, Selangor, Kedah, Perak dan pelbagai tempat lain semata-mata nak rasa keenakan nasi goreng sotong emas.
“Setiap hari ramai yang datang terus untuk makan di kedai dan ramai juga membuat tempahan melalui telefon.
“Bila ada batalkan tempahan atas urusan tidak dapat dielak, memang saya bersyukur kerana bimbang tidak mampu memenuhi semua permintaan pelanggan yang tidak putus-putus,” katanya.
Tambah pekerja, bahan mentah
Kata suami kepada Suhana Muhammad, 48 yang juga tukang masak di kedai itu, bukan sahaja pekerja terpaksa ditambah tetapi bahan mentah juga meningkat berganda.
“Jika sebelum ini hanya 15 kilogram (kg) sotong diperlukan tetapi sekarang mencecah 50kg sehari.
“Memang setiap hari habis dan kerana terlalu ramai, pelanggan terpaksa menunggu lebih lama.
“Walaupun pekerja ditambah tetapi kita tidak dapat memenuhi kesemua kehendak mereka,” katanya.
Katanya, kerana pendapatannya meningkat berganda-ganda, dia bersetuju bantuan bulanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipotong.
“Memang pendapatan saya meningkat berganda-ganda, jika dahulu RM1,000 sehari sekarang mencecah RM3,000, malah sehari beratus-ratus pelanggan datang.
“Saya bersetuju bantuan bulanan dipotong kerana perniagaan ini sudah menjadi punca rezeki besar kepada kami sekeluarga.
“Walaupun OKU, kita tidak boleh terlalu harapkan bantuan kerajaan dan harus berusaha mengubah hidup ke arah lebih baik,” katanya.
Pelanggan puji keenakan
Pengunjung, Azizah Ngah, 64 berkata, dia terliur untuk menikmati keenakan nasi goreng sotong emas apabila melihat artikel yang disiarkan oleh Sinar Harian.
“Saya duduk di Dungun tetapi tidak pernah tahu kedai ini wujud dan apabila melihat di dalam akhbar terus ingin mencuba.
“Akhirnya saya dapat rasa nasi goreng ini walaupun terpaksa menunggu agak lama. Rasanya sedap dan saya puas hati, malah harganya juga berpatutan,” katanya.
#bahan mentah
#Facebook
#Mohd Arif Abdullah
#Nasi goreng sotong emas
#OKU
#pengunjung
#sotong
#Tular
#video