Narathiwat, wilayah kecil yang berjiwa besar

Madiha Abdullah
Julai 2, 2019 15:31 MYT
Narathiwat perlu terus 'dipikat' kerana persamaan dan keterbukaan mereka, yang tentunya akan menguntungkan negara. - YouTube/Naratip Neeranartrungsan
MENYEBUT wilayah Narathiwat, selatan Thailand, pastinya perkara pertama yang terlintas dalam fikiran adalah sebuah wilayah bergolak.
Dengan pelbagai cerita tidak enak didengari sejak awal era 2000, tidak keterlaluan jika dikatakan, ramai daripada kita tidak meletakkan lokasi ini dalam senarai destinasi pelancongan atau percutian.
Tetapi jangan terkejut kerana Narathiwat sebuah wilayah kecil yang berjiwa besar.
Penulis adalah antara media dari Malaysia yang mengikuti rombongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ke Narathiwat untuk menyertai program Pesta Sukan Dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019.
Walaupun penulis berasal dari Kelantan yang secara geografinya hanya dipisahkan oleh sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Golok, menjejaki Selatan Thailand adalah pengalaman pertama.
Ketika menerima arahan ke sana, penulis terfikir, Narathiwat secara asasnya seperti Kelantan. Bezanya mungkin papan tanda dalam tulisan Siam.
Sekali imbas, berada di Narathiwat tidak banyak perbezaan dengan berada di Kelantan. Bandar ini dihuni oleh majoritinya penganut agama Islam.
Malah mereka juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan dialek Kelantan dengan baik, walaupun dengan loghat Siam yang agak tebal.
Mengikut cerita, Narathiwat satu ketika dahulu pernah dikenali sebagai Menara, sebelum ditukar kepada Bang Nara dan Bang Nak. Namun ketika era pemerintahan Raja Rama VI, ia dinamakan semula sebagai Narathiwat, yang bermaksud 'tempat tinggal yang bagus untuk orang ramai'.
Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan, Narathiwat, atau mesra digelar Nara oleh penduduk tempatan, berbahang panas menyambut ketibaan kami, dengan suhu harian mencecah 36 darjah Celsius.
Pekannya padat, tidak banyak bezanya dengan kepadatan bandar raya Kota Bharu, begitu juga dengan keadaan trafiknya. Di kiri kanan jalan berdiri megah banyak papan tanda dan poster dengan imej Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, petanda kebanggaan rakyat tempatan terhadap monarki baharu itu.
Kawalan keselamatan
Kerap penulis terlihat kelibat askar dan polis berkawal dan melakukan sekatan jalan raya di bandar ini. Sememangnya ia satu pemandangan biasa, namun ironinya, penulis tidak pula berasa tidak selamat atau bimbang sepanjang dua hari berada di Narathiwat.
Penduduknya menjalani kehidupan harian seperti biasa, namun apa yang penulis perhatikan, hiruk-pikuk pekannya terhenti sebaik matahari terbenam.
Mungkin juga atas faktor keselamatan, secara umumnya, Narathiwat bertukar sunyi apabila malam menjelma.
Jalan raya mulai lengang. Pintu kedai diturunkan, menandakan berakhirnya urusan perniagaan, kecuali kedai-kedai seperti 7-Eleven yang masih terus kekal beroperasi 24 jam. Malah kelibat penduduk juga tidak begitu kelihatan, mungkin ramai yang lebih selesa berada di rumah.
Memetik kata-kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, pentadbiran Narathiwat mengutamakan orang awam membuatkan tidak ada kerisauan sepanjang berada di sana.
"Alhamdulillah semenjak beberapa tahun ini keadaan sudah okey sedikit. Adalah sesekali (kejadian tak diingini), tetapi tak seteruk dulu.
"Tak ada apa pun sebenarnya. Cuma kadang-kadang diperbesarkan sebab Nara ni pernah bergolak," itu sedikit intipati perbualan dengan pemandu van yang ditugaskan membawa rombongan media.
Eksploitasi budaya
Mengikut tentatif yang diberikan, rombongan Malaysia sepatutnya dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di wilayah itu, namun faktor kesuntukan masa membuatkan kami hanya sempat singgah di tiga tempat.
Penulis sedikit terkilan kerana tidak berpeluang melawat mana-mana lokasi pantai di sana. Ini kerana, difahamkan pantai di Narathiwat adalah tempat wajib dikunjungi dan punya tarikan tersendiri.
Jiwa Narathiwat sebenarnya terletak pada budayanya. Selain bahasa dan cara hidup yang hampir serupa, penulis berani mengatakan rakyatnya juga mengagumi elemen tradisi dan kebudayaan Malaysia.
Semasa penulis turun ke pesta kebudayaan yang diadakan, dapat dilihat penduduk Narathiwat cukup terhibur menyaksikan persembahan kebudayaan Malaysia. Tidak berganjak mereka menonton keunikan persembahan Menora dan wayang kulit yang mengambil tempat di pentas utama.
Sedangkan mengikut sejarahnya, tradisi pertunjukan itu memang mempunyai pengaruh besar dari tanah Siam sendiri.
Biarpun dilihat ramai sebagai sebuah wilayah kecil, peranan Narathiwat sebagai jambatan penghubung antara Malaysia dan Thailand tidak boleh dipandang remeh.
Ciri persamaan budaya antara kedua negara perlu dieksploitasi dan digunakan sepenuhnya untuk memastikan jalinan persaudaraan Malaysia-Thailand akan terus kukuh.
Apatah lagi dengan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Kelantan 2020, Narathiwat perlu terus 'dipikat' kerana persamaan dan keterbukaan mereka, yang tentunya akan menguntungkan negara dan membawa lebih ramai pelancong dari Thailand berkunjung ke Malaysia.
Tip perjalanan:
1. Jika anda tidak mahu menggunakan jalan darat, anda boleh menaiki kapal terbang. Difahamkan, Air Asia dan Thai Airways antara penerbangan yang boleh digunakan untuk membawa anda ke Lapangan Terbang Narathiwat.
2. Pastikan anda bersedia dengan kad SIM tempatan untuk terus berhubung. Ini kerana, perayauan antarabangsa menggunakan telco Malaysia 'tidak laku' di sini. Polisi telekomunikasi di Narathiwat agak ketat dan tidak membenarkan mana-mana servis telco luar di kawasan mereka.
#budaya #Islam #keselamatan #Melayu #Narathiwat #pelancong #pelancongan #Tahun Melawat Kelantan #tahun melawat malaysia #Thailand
;