Namakan anak dengan nama malaikat atau para nabi dibenarkan - Shahrul Nasrun ucap terima kasih
Gempak
Julai 18, 2017 22:00 MYT
Julai 18, 2017 22:00 MYT
PRESIDEN Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berterima kasih kepada Pensyarah Fiqh Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ustaz Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, kerana memberi penjelasan mengenai isu pemilihan nama anak lelakinya baru-baru ini.
Ustaz Mohd Izhar Ariff memberikan penjelasan menerusi akaun Instagramnya pada Ahad.
Menurutnya, perkara itu tidak salah kerana menamakan anak-anak dengan nama yang baik adalah Sunnah.
“HUKUM MENAMAKAN ANAK DENGAN NAMA MALAIKAT: Ramai yang hubungi saya mengenai hukum menamakan anak dengan nama-nama para Malaikat. Untuk pengetahuan semua, menamakan anak dengan nama-nama yg baik adalah Sunnah.
“Nabi SAW bersabda yg bermaksud: "Kamu akan dipanggil pada hari Kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Oleh itu, Namakanlah anak-anak kamu dengan nama yg terbaik.." (Ibn Majah) Menurut Al-Nawawi, Al-Qardhawi dan ramai lagi, menamakan anak dengan nama para Nabi dan para Malaikat adalah dibenarkan selagi ia tepat dengan makna dan tata bahasa Arab.
“Justeru, hukum menamakan anak dengan nama JIBRIL/JIBRIEL, MIKAEL, MALIK atau sebagainya adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan Akidah atau Syariah Islam. Wallahuaklam. Dato' Dr Mohd Izhar Ariff, Pensyarah Fiqh Semasa, UKM. @ustazdrizharariff @shahrulnasrun,” jelasnya.
Penerangan itu kemudiannya mendapat perhatian Shahrul sehingga dia meninggalkan komen beserta hashtag #bersangkabaik.
Terdahulu, nama anak Shahrul Nasrun, Jibriel Khan yang dilahirkan pada 7 Julai lalu menjadi pertikaian netizen kerana menyamai nama malaikat.
Teks oleh: Mya Amri