Nak upah mahal, ibu ini tekad buat rumah sendiri

Keluarga
September 11, 2022 09:00 MYT
Lagaknya seperti seorang yang profesional dan video tersebut mendapat tontonan hingga 1.8 juta tontonan. - Foto TikTok/wanifaizun
HENDAK seribu daya tak nak seribu dalih, peribahasa ini begitu dekat dengan usaha yang ditunjukkan oleh seorang wanita yang juga bergelar ibu kepada seorang anak yang masih kecil dalam usahanya membina sendiri rumahnya dengan keluasan 1,200 kaki persegi.
Apa yang lebih mengkagumkan meskipun tiada pengalaman dalam pertukangan dan seni bina bangunan sekali pun, ia tidak menjadi penghalang buat Auni Haswani Faizun yang juga merupakan pemegang Diploma Dakwah & Pengurusan dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) untuk mendirikan rumah dari hasil sentuhan tangannya sendiri.
Kisah ini tular apabila Auni berkongsi video di aplikasi TikTok. Wargamaya terpegun apabila melihat dia tidak sedikit pun kekok dalam melakukan kerja-kerja pertukangan yang lasak.
Lagaknya seperti seorang yang profesional dan video tersebut mendapat tontonan hingga 1.8 juta tontonan.
Apatah lagi menurutnya, keputusan dibuat selepas dia dimaklumkan kos untuk membuat kendang kambing sahaja sudah hampir mencecah RM10,000.
Apabila mengenangkan harga barangan binaan yang semakin melambong naik dan ditambah pula kos khidmat tukang rumah juga meningkat, sekali gus dia nekad untuk membina rumah impian daripada usaha kerja tangannya sendiri.
“Saya tak pernah tanya tukang rumah berapa jumlah keseluruhan kalau nak buat rumah, tapi yang pasti kos bahan mentah semua mahal kerana harga barang naik. Kalau upah lagi la (mahal).
“Sebab sebelum ini ada juga tanya kawan berapa upah kalau nak buat kendang kambing dan dia cakap hampir RM10,000.
“Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk buat sendiri,” kongsinya.
Tambahnya lagi memetik perkongsiannya di mStar difahamkan disebabkan kesukaran membuat pinjaman bank turut menjadi asbab pembinaan rumah tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang singkat.
“Dah lama saya rancang nak buat rumah Ini iaitu selepas mak bahagikan tanah kepada anak-anaknya. Saya ada enam beradik yang mana empat orang menerima tanah di tempat lain manakala tanah rumah mak dibahagaikan kepada saya dan adik. Jadi saya ambil tapak yang ada garaj.
“Disebabkan tak dapat buat pinjaman bank, saya guna sepenuhnya duit gaji yang diperolehi daripada mengajar al-Quran dan fardu ain di asrama.
“Waktu pagi saya berkerja sebagai tukang kayu,” ujarnya yang mengutip pengalaman awal daripada bapanya ketika melakukan kerja ubah suai dapur rumah mereka.
Meninjau di ruangan komen, warganet memuji kemahiran yang dimiliki oleh wanita ini dalam membina rumah.
Tidak terkecuali ada juga yang berkongsi pengalaman gunakan keringat sendiri untuk membina rumah impian.
“Alamakkkk…lagi cantik dia ikat batu daripada aku ikat.. Btw, saya pun buat rumah sendiri je. 0 pengalaman. Sumua belajar dekat YouTube," kongsi seorang netizen.
“Aku hari-hari guna mesin kerja kayu kak. Tapi sampai sekarang tak berani guna grinder. hebak do k,” puji yang lain.
“Ni baru betul hantaran 20k..hahaha,” usik netizen.
“Kemas dan teratur ikat batu macam pekerja mahir,” tulis yang lain. - Keluarga

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#rumah sendiri #wanita #Auni Haswani Faizun #santai hujung minggu
;