Nak ubah suai bilik air? Ini 7 perkara anda wajib tahu

Impiana
November 28, 2021 10:00 MYT
Saiz bilik mandi, kualiti bahan dan upah pekerja semua ini merupakan faktor yang akan memberi impak secara langsung terhadap kos renovasi. -Impiana
TERDAPAT banyak perkara yang perlu diambil kira dalam proses pengubahsuaian yang pastinya memeningkan kepala.
Jika anda seorang profesional sekali pun, setiap projek adalah berbeza-beza bergantung kepada kehendak pemilik, bajet dan macam-macam faktor lagi.
Artikel kali ini membincangkan tentang perkara yang patut anda tahu sebelum memulakan sebarang renovasi pada bilik air di kediaman.
Dengan kajian yang mencukupi dan pengetahuan yang diperoleh, diharap proses ini akan lebih lancar dan berakhir dengan sebuah bilik air baharu yang cantik dan menarik.
1. Jangkaan kos renovasi
Sebelum memulakan apa-apa projek, adalah penting untuk anda tahu apa yang anda mahukan dan apa yang anda boleh dapat dengan jumlah wang yang sanggup dilaburkan.
Saiz bilik mandi, kualiti bahan dan upah pekerja – semua ini merupakan faktor yang akan memberi impak secara langsung terhadap kos renovasi anda.
2. Susun atur dan pelan
Rancang dan bincang dengan teliti bagaimana susunan bilik air yang anda inginkan dengan kontraktor.
Jangan takut untuk meminta pendapat dan idea dari pihak ketiga.
Buat umat Islam adalah lebih baik jika tandas anda tidak menghadap ke kiblat.
Selain itu, elakkan meletak tandas berhadapan dengan pintu masuk kerana ia bukanlah perkara paling menyenangkan untuk dilihat dan mungkin terlihat tidak sopan.
3. Fahami dimensi bilik air standard
Ambil tahu dan buat sedikit research tentang ukuran beberapa alatan utama yang diperlukan di dalam sesebuah bilik mandi agar mudah untuk anda memperuntukkan ruangan buat sinki, tandas mahupun tab mandi dengan lebih efisien.
4. Ketinggian yang tepat untuk sinki
Kebiasaannya tinggi sinki adalah 32 ke 34 inci dari permukaan lantai bilik air.
Tetapi anda perlu mengambil kira tentang ketebalan material kaunter yang ingin digunakan sekali agar penggunaan bilik air lebih selesa.
5. Semak saiz jubin yang dipilih
Jangan terperanjat jika jubin 300x300 yang anda beli tidak menepati spesifikasi sebenar.
Ini mungkin terjadi atas faktor sendi grouting dan ia boleh mempengaruhi susun atur dan perletakan jubin akan jadi tidak cantik.
6. Pasang sendiri
Kos memasang juga akan memaksa anda menambah bajet keseluruhan renovasi. Sebenarnya tuan rumah boleh mengurangkan kos dengan melakukan sendiri kerja-kerja pemasangan yang mudah.
7. Beri perhatian pada transisi lantai
Bilik air yang dipasang jubin perlu dipadankan dengan kemasan lantai di luarnya.
Ramai pemilik yang terlepas pandang hal ini tetapi pemilihan jubin yang berpadanan adalah penting kerana ia dapat mempengaruhi transisi dari satu ruang ke ruang yang lain.
Seperti dalam kebanyakan kes, perancangan awal akan memberikan hasil yang memenuhi kehendak anda.
*Artikel asal di Impiana

Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#bilik air #kos renovasi #kiblat #Kontraktor
;