Nak cantik jangan sampai gadai nyawa anak - Dr Alina Hasni
Faida Rahim
November 19, 2022 16:12 MYT
November 19, 2022 16:12 MYT
SHAH ALAM: Kegilaan pengguna krim pencerah atau anti jerawat meskipun mengandungi bahan kimia terlarang mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan wanita.
Untuk memiliki kulit cerah seperti selebriti Korea sehingga sanggup menggunakan apa sahaja produk bagi mendapatkan hasil dengan cepat tanpa menyedari produk itu mengandungi kesan sampingan.
Doktor perubatan am dan kulit, Dr Alina Hasni menjelaskan lambakan produk kecantikan dijual dalam talian terutama penjualan Isotretinoin yang mengundang padah kepada kulit wajah pengguna.
“Ubat ini merupakan ubat yang hanya boleh diperolehi dari klinik, atau dari farmasi dengan preskipsi pakar kulit yang berdaftar di bawah National Specialist Register (NSR).
“Walau bagaimanapun, akibat ketaksuban, sebahagian rakyat Malaysia untuk mendapatkan kulit yang cantik, sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjual isotretonoin secara atas talian. Banyak laman web dan akaun sosial yang mengiklankan penjualan produk ini secara berleluasa,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam masa sama, Dr Alina menggesa pemantauan ketat dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar penggunaan Isotretinoin tidak berleluasa.
Isotretinoin merupakan sejenis bahan yang berkait rapat dengan vitamin A (retinoid). Ia merawat jerawat dengan mengurangkan produksi sebum atau minyak di permukaan kulit. Selain itu ia juga mengurangkan produksi keratin yang menyebabkan permukaan kulit menjadi kasar.
Tambahnya, penggunaan ubat terkawal ini mempunyai kesan sampingan antaranya kecacatan janin yang boleh mengabitkan keguguran atau malformasi kepada bayi yang dilahirkan kecacatan janin.
“Untuk kaum wanita, penggunaan Isotretinoin tanpa preskipsi doktor pakai kulit boleh mengakibatkan kecacatan janin malah membahayakan sekiranya pengguna tidak tahu dirinya sedang hamil. Situasi ini amat membimbangkan jika pengguna mendahulu kecantikan berbanding kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungan," katanya.
Oleh demikian, Dr Alina Hasni yang juga pengasas Klinik Kulit Dermalene Sdn Bhd menasihatkan agar individu berdepan masalah kulit mendapatkan rawatan tepat serta menjauhi jalan pintas untuk mendapatkan kulit cantik.