Muzium Kota Kayang cerminan sejarah, budaya Perlis - Raja Muda
Bernama
November 4, 2023 05:40 MYT
November 4, 2023 05:40 MYT
KUALA PERLIS: Muzium Kota Kayang adalah cerminan sejarah dan budaya serta warisan negeri Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Muzium Kota Kayang boleh menjadi duta dalam usaha memperkenal negeri itu kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa kerana ia adalah satu-satunya muzium di Perlis.
"Muzium bukan sahaja mampu memelihara dan memulihara khazanah warisan negara malah mampu mendidik masyarakat untuk mengenali serta menghayati sejarah peradaban budaya pelbagai kaum di negara ini yang mampu memupuk persefahaman dan perpaduan kaum," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian semasa merasmikan Program Citra Nusa@Muzium Kota Kayang Tahun 2023, di sini, pada Sabtu.
Program tiga hari itu, yang bermula Jumaat, adalah anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia.
Tuanku Syed Faizuddin turut memaklumkan bahawa rumah kelahiran ayahanda baginda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang dikenali sebagai Rumah Hijau, telah ditempatkan di pekarangan Muzium Kota Kayang dalam usaha menambah nilai persekitaran muzium itu.
"Besarlah harapan beta agar Rumah Hijau ini diketengahkan sesuai dengan fungsi asalnya tanpa melupakan elemen sejarah melalui penggunaan teknologi pameran yang mampu menjadi daya tarikan baharu di negeri Perlis," titah baginda.
Baginda juga merakamkan ucapan tahniah kepada Muzium Kota Kayang yang berjaya memperoleh penarafan Anugerah Emas di bawah Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA).
"Anugerah ini merupakan antara inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk meningkatkan perkhidmatan serta kualiti kemudahan bagi produk-produk pelancongan di Malaysia.
"Beta melihat anugerah tersebut sebagai sesuatu yang cukup besar maknanya kepada negeri ini dalam persediaan Tahun Melawat Perlis 2024-2025," titah baginda. - BERNAMA