Musim hujan: Bakal pengantin jangan pening, ikuti tips ini!
Faida Rahim
September 3, 2022 14:40 MYT
September 3, 2022 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Musim cuti sekolah sudah tiba! Pasti ada di antara anda yang merancang untuk mengadakan majlis kahwin bulan ini.
Tetapi melihat cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini memang ‘menakutkan’ bakal pengantin. Jangan biarkan faktor musim hujan alasan untuk anda tangguh hari bahagia pula.
Berikut beberapa perkongsian mengenai persiapan idea bagi memastikan majlis perkahwinan anda kekal indah dan diingati walaupun dirai dalam hujan.
‘Plan B’: Jika anda merancang mengadakan outdoor wedding pada musim hujan, maka anda harus mempunyai ‘Pelan B’. Pertimbangkan alternatif untuk siap sedia dengan khemah sekiranya hujan turun tiba-tiba.
Pengangkutan: Anda juga perlu memikirkan soal pengangkutan ke lokasi resepsi majlis dalam keadaan cuaca buruk. Mungkin anda boleh merancang majlis perkahwinan di sebuah rumah/banglo menghadap laman indah dengan hiasan bunga hidup.
Dandanan rambut: Air hujan boleh mengusutkan rambut anda sekalipun rambut telah disembur hair spray sebelum majlis. Bincang dengan individu yang menata rias rambut anda dan minta mereka ajar kepada ibu atau pengiring cara mendandan semula rambut sekiranya terkena tempias air hujan.
Kasut: Bukan hanya rambut, kasut juga perlu diambil kira sekiranya hujan turun di lokasi majlis. Bayangkan dengan kasut tumit tinggi, anda pula terpaksa memijak tanah hingga tinggalkan kotoran. Mesti rimas dibuatnya! Sediakan sepasang kasut ekstra yang sesuai dipadankan dengan gaun pengantin anda. Kalau nak padankan dengan ‘but’ pengantin juga tak salah asalkan sesuai dengan keadaan.
Payung untuk tetamu: Sediakan payung sebelum hujan! Bayangkan tetamu yang hadir perlu meletakkan kereta di kawasan yang agak jauh dari lokasi majlis. Anda boleh sediakan paying yang banyak untuk mereka dapat berteduh untuk berjalan ke lokasi agar tidak basah kuyup.
Selebihnya, sama-sama kita berdoa agar segala urusan di hari bahagia anda dipermudahkan.