Mungkinkah ada harapan buat Malaysia?

Syafik Shukri Jalil
Oktober 23, 2018 00:11 MYT
Gaun malam berwarna merah ini merupakan rekaan pereka fesyen tempatan, Rozie Khan Couture yang merupakan anak jati Dalat, Sibu, Sarawak.
PESERTA Malaysia di pentas Miss Grand International 2018, Debra Jeanne Poh mendahului carta undian sebagai 10 peserta paling popular.
Sekiranya momentum ini kekal, Debra akan layak ke Top 10 acara tersebut secara automatik pada malam kemuncaknya 25 Oktober ini.
Kedudukan terbaharu yang dikeluarkan pada Isnin ini diperoleh menerusi aplikasi Star Mobile App yang menjadi platform utama untuk peminat seluruh membuat undian.
Tidak hanya bersandar pada undian, Debra juga berjaya membuktikan bahawa ratu cantik dari Malaysia juga mampu menyerlah di pentas antarabangsa.
Ini dibuktikan dengan prestasi konsistennya dalam pelbagai acara yang diadakan walaupun berdepan pelbagai kritikan di laman media sosialnya.
Nyata semangat Debra tidak lentur dan terus pamer auranya dengan mengenakan variasi busana yang banyak mempamer identiti Malaysia.
Paling menyerlah semestinya busana songket dan gaun malam rekaan pereka fesyen tempatan Rozie Khan Couture dan beberapa busana lain yang melambangkan corak tradisi pelbagai etnik di Sabah.
Debra, menerusi sebuah video di Insta Storiesnya, meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus mengundinya dan menyeru agar undian untuk terus dilakukan bagi membolehkan Malaysia mara ke peringkat 10 terbaik seterusnya memenangi mahkota Miss Grand International 2018.
Justeru bagi anda yang ingin melakukan undian, anda boleh berbuat demikian dengan muat turun aplikasi Star Mobile di Google Playstore dan Appstore dengan menaip MGI dan undi Malaysia.
Sekiranya anda ingin menyaksikan temu bual penuh bersama Debra Jeanne Poh sebelum anak kelahiran Labuan ini berlepas ke Myanmar tempoh hari, saksikannya di astroawani.com.
#Debra Jeanna Poh #Miss Grand International 2018 #Miss Grand International Malaysia 2018 #Myanmar #rupawan awani #Sabah #Star Mobile