Muak bayar sewa rumah? Apa kata tinggal saja dalam trak
Agensi
Februari 19, 2018 16:58 MYT
Februari 19, 2018 16:58 MYT
Ingin menginap di bandar besar tanpa perlu bayar sewa rumah? Tidak mustahil sekiranya anda tinggal di dalam trak serba lengkap.
Seorang wanita bernama Chrissie Junge telah mengubah suai belakang trak Mazda T600 miliknya dan dia kini bebas untuk tinggal di mana-mana saja.
Trak yang diberi nama Harry itu telah diubah suai dengan kos $13,000 (sekitar RM50,000) dilengkapi dengan tandas, tempat mandi dan dapur kecil.
“Saya akan bekerja sebagai pelayan bar atau pemetik buah di mana sahaja. Saya ingin bertemu banyak orang dan melihat banyak perkara,” katanya seperti yang dilaporkan portal ABC.News.
Chrissie mendokumentasi perjalanannya di laman instagram dan blognya.
“Orang pasti fikir saya melakukan ini untuk mendapatkan sewa atau barang yang murah. Tapi saya cuma mahu pergi ke mana sahaja pada bila-bila masa.
"Saya ingin bangun di tempat yang indah dan berbeza setiap hari,” ujar Junge.
Setakat ini tidak banyak barang di dalam trak itu. Hanya ada katil, beberapa tingkap, dan peti sejuk kecil.
Sementara menunggu tandasnya siap, Junge menggunakan keistimewaan sebagai ahli di sebuah gim terbesar dan menumpang kemudahan seperti tandas di gim berkenaan.
Setiap hari selepas bekerja, Junge akan meletakkan traknya di tempat sekitar Brisbane yang terdapat air dan pokok.
“Saya mempunyai empat tempat kesukaan untuk meletakkan kenderaan. Saya akan tinggal di kawasan yang dekat dengan tempat saya bekerja. Saya akan menyesuaikan diri jika harus bekerja di awal pagi,” kongsinya lagi.
Namun, Junge juga mengakui gaya hidup yang dipilihnya itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang.
“Ada orang yang menyukai ruang yang banyak. Namun pada saya, memiliki ruang yang kecil membuatkan saya lebih tertarik untuk meneroka dunia luar. Jika tidak, anda mungkin akan duduk di ruang tamu dan menonton televisyen sepanjang hari."
Dia mengaku menerima respon yang pelbagai daripada orang awam.
“Ada yang beranggapan apa yang saya lakukan ini adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ada yang ingin melakukannya sewaktu masih muda dan ada juga yang ingin melakukan ini apabila sudah pencen.”
Dia mengaku perlu merencana perjalanan dan tempat untuk dituju selepas pulang kerja.
Junge bagaimanapun bersyukur memiliki kawan-kawan yang selalu membantunya.
“Mereka kata saya boleh tinggal dengan mereka pada bila-bila masa sahaja. Saya juga boleh ke rumah mereka untuk mencuci pakaian.”