#msmw2015: Isu di media sosial perlu ditangani dengan bijak

Kohilah Sekaran, Madiha Abdullah
April 22, 2015 23:58 MYT
ROHIT: Masyarakat perlu sedar bahawa mengetahui tentang sesuatu kadang kala tidak bermakna isu itu difahami secara menyeluruh. - Foto Astro AWANI
Kebanyakan krisis yang timbul di laman sosial berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang sesuatu isu yang ditimbulkan.
Dunia tanpa batasan menjadikan akses kepada laman sosial tidak terhad, malah boleh digunakan oleh sesiapa dan di mana sahaja.
Bercakap di Persidangan Minggu Media Sosial Malaysia pada Rabu, Ketua Komunikasi Korporat BASF, Genevieve Hilton, percaya budaya "bertindak dahulu, dapatkan kepastian kemudian" tidak sepatutnya diamalkan.
Ketua Pengarah Mobile Marketing Association Asia Pacific, Rohit Dadwal pula berkata masyarakat perlu sedar bahawa mengetahui tentang sesuatu kadang kala tidak bermakna isu itu difahami secara menyeluruh.
Namun begitu, bukan tidak ada sebarang cara untuk menangani krisis sebegini.
Rohit turut menekankan kepentingan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan satu-satu isu yang timbul.
"Anggota masyarakat terdiri daripada mereka yang punya tahap kefahaman, pemikiran dan pendidikan yang berbeza dan ini menyumbang kepada perbezaan persepsi dalam kebanyakan isu," kata Rohit.
Pengasas Hashtag Media Mohd Sharizad Rosli berkata langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul ialah dengan cara menyedari bahawa isu tersebut wujud.
Seterusnya, pihak-pihak bertanggungjawab perlu memberikan respon yang tepat dalam tempoh masa yang cepat memandangkan isu di media sosial punya kemungkinan menjadi krisis yang besar jika tidak ditangani dalam masa yang pantas.
Ketiga-tiga panel tersebut turut memfokuskan kepada sikap yang perlu diambil mereka yang menjadi mangsa krisis di media sosial.
Menurut Rohit, setiap individu harus sentiasa bersedia untuk berdepan dengan krisis di media sosial kerana sikap seperti ini dapat membuka ruang dan idea positif dalam menangani masalah yang timbul.
Penting juga untuk diingat, tindakan yang diambil perlu mempunyai elemen kemanusiaan kerana ia dapat membantu mengurangkan kesan negatif akibat masalah tersebut.
Masyarakat juga harus sentiasa sedar bahawa setiap individu kini mempunyai medium untuk meluahkan pendapat, justeru setiap tindakan yang diambil perlulah dipertimbangkan dengan teliti.
Persidangan Minggu Media Sosial Malaysia berlangsung dari 21 hingga 25 April ini, di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.
#Malaysia Social Media Week #MSMW2015 #Rohit Dadwal
;