'Mood' melancong kian rancak, rakyat Malaysia mula rancang percutian hujung tahun

Astro Awani
September 4, 2022 18:57 MYT
Tahun ini, pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas menyaksikan sektor itu kembali bernafas dengan lebih satu juta pelancong datang ke Malaysia dari April sehingga Jun 2022. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tahun lepas, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian berjumlah RM165 bilion dalam sektor pelancongan, meningkat berbanding RM135 bilion pada 2020.
Tahun ini, pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas menyaksikan sektor itu kembali bernafas dengan lebih satu juta pelancong datang ke Malaysia dari April sehingga Jun 2022.
Menjelang penghujung tahun, rakyat Malaysia turut dilihat sibuk merancang percutian dalam dan luar negara, mungkin bagi meredakan tekanan selepas penat bekerja atau mahu lari seketika dari 'bahang' peristiwa yang berlaku di dalam negara.
Penganjuran Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022 yang berlangsung pada 2 hingga 4 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) membuka peluang buat mereka merancang bukan sahaja perjalanan malah bajet dengan tawaran-tawaran dikemukakan agensi pelancongan.
Berdasarkan tinjauan di pameran tersebut, lokasi pilihan yang sering menjadi tumpuan pengunjung boleh dibahagikan kepada dua iaitu dalam dan luar negara.
Bagi dalam negara, lima lokasi menjadi tumpuan iaitu beberapa pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor selain Melaka, Sarawak, Sabah dan Terengganu turut menjadi pilihan.
Lokasi pilihan luar negara pula ialah Korea Selatan, Taiwan, Turkiye, negara-negara Eropah termasuk negara Balkan dan negara-negara Asia Tenggara.
Dari segi perbelanjaan, beberapa pengunjung ditemui mengakui mereka sanggup untuk berbelanja sedikit tinggi pada tahun ini memandangkan ada antara mereka yang terpaksa membatalkan percutian pada tahun 2020.
Pengangkutan pilihan, sudah semestinya kapal terbang untuk ke luar negara namun mereka tidak menetapkan mahu menggunakan syarikat mana sebaliknya terbuka untuk semua terutamanya yang memberikan tawaran menarik.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati ada syarikat penerbangan menawarkan diskaun sehingga 45 peratus bagi menarik pengunjung.
MATTA Fair 2022 | 'Mood' cuti kembali rancak menjelang hujung tahun
Beberapa pengunjung ditemui juga berharap percutian mereka tidak dibatalkan seperti yang berlaku pada tahun 2020 gara-gara pandemik.
Menurut mereka, percutian pada penghujung tahun sangat penting buat mereka selepas penat membanting tulang, mengumpul wang sepanjang tahun demi ketenangan pada hujung tahun.
#MATTA Fair #MOTAC #sektor pelancongan #Korea Selatan
;