Monday Blues: Tekanan psikologi atau mengada-ada?

Essan Yahya
Mac 4, 2019 08:30 MYT
Status emosi Monday Blues memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap kualiti kerja dan pembelajaran seseorang. - Gambar hiasan
SINDROM Monday Blues boleh ditafsirkan sebagai status emosi negatif yang dizahirkan dalam bentuk tekanan, kebimbangan dan keletihan emosi yang berlaku pada hari Isnin atau hari pertama seseorang itu mula bekerja pada minggu berkenaan.
Kesannya akan berlarutan pada hari-hari seterusnya pada minggu berkenaan.
Terma 'Monday Blues' acapkali membelenggu psikologi manusia sedangkan isnin merupakan hari yang sama sahaja dengan hari-hari lain. Bagi anda yang mungkin mempunyai perasaan seperti ini, Pakar Psikologi Pendidikan dan Personaliti Universiti Sains Malaysia USM, Prof Madya Dr Shahabuddin Hashim menyenaraikan lima perkara yang boleh mengubah persepsi ini.
Sekadar ungkapan?
Dr Shahabuddin berkata, perkara ini bergantung kepada sejauh mana seseorang itu memahami maksud 'Monday Blues' dan memberi respon terhadapnya. Jika dilihat dari sudut positif maka fenomena emosi ini akan ditangani dengan bijaksana. Begitulah sebaliknya.
Kesan
"Dapatan kajian dalam bidang psikologi dan neorologi menunjukkan status emosi Monday Blues memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap kualiti kerja dan pembelajaran seseorang," katanya.
Jelasnya lagi, produktiviti akan berkurangan, kurang bermotivasi, kurang kreatif, kurang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan dan proses pembelajaran begitu lambat berbanding dengan hari lain.
Cara menangani
Dalam pada itu, Dr Shahabuddin berkata, dari sudut resiliensi pekerjaan atau pembelajaran, fenomena ini boleh ditangani dengan:
1. Meneliti semula kekuatan dan kelemahan diri - Meneliti semula kekuatan dan kelemahan diri yang ditunjukkan sepanjang minggu lepas sebelum memulakan pekerjaan atau pembelajaran minggu yang akan datang. Apakah yang boleh dipelajari dari penelitian berkenaan?
2. Membangunkan potensi diri - Setiap orang mempunyai potensi diri yang tertentu yang boleh diolah dan diberi tenaga semula agar memberi manfaat kepada diri sendiri dan organisasi. Jika seseorang itu mempunyai tahap pemikiran kritis yang tinggi, gunakan potensi berkenaan untuk memberi idea-idea segar untuk manfaat organisasi.
3. Pertingkatkan jaringan (networking) yang positif - Jaringan yang bermanfaat atau memberi kesan positif kepada diri dan organisasi perlu disemarakkan. Menghubungi rakan-rakan baharu atau yang sedia dan bertukar-tukar pendapat atau idea baru yang mempunyai nilai tambah terhadap tahap produktiviti dan pencapaian mingguan adalah perlu. Hubungan dengan rakan lama yang mungkin akan menambahkan beban psikologi Monday Blues mungkin boleh dielakkan untuk sementara.
4. Mengurang atau mengelakkan risiko yang menyebabkan produktiviti yang rendah - Produktiviti yang rendah boleh berlaku dalam dunia pekerjaan akibat dari faktor risiko yang tidak dikawal. Umpamanya kegagalan untuk merancang aktiviti pengeluaran produk secara mingguan adalah salah satu contoh risiko psikologi yang sepatutnya dapat dielakkan pada minggu berkenaan agar emosi pekerja tidak berada dalam situasi yang tertekan.
5. Perancangan jangka masa panjang - Seseorang pekerja atau pelajar perlu berpandukan kepada perancangan bulanan atau tahunan bukannya perancangan mingguan yang mungkin berdepan dengan status emosi Monday Blues. Monday blues tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan bulanan dan tahunan seseorang. Monday Blues perlu dilihat sebagai satu tenaga dalaman yang positif untuk mencipta kejayaan baharu untuk minggu berkenaan yang tentunya lebih baik dari minggu yang sebelumnya.
Dr Shahabuddin berkata, Monday Blues memang benar-benar berlaku, namun pada sesetengah individu mereka ‘mengada-ada’ dengan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berkerja atau belajar bersungguh-sungguh seperti yang seharusnya mereka buat.
#bekerja #monday #mondayblues #office #Pekerja #working
;