'Model yang takut dicabul patut jadi biarawati saja!' - Karl Lagerfeld lantas dihujani kecaman
Agensi
April 17, 2018 07:27 MYT
April 17, 2018 07:27 MYT
SIAPA yang tidak kenal dengan nama pereka fesyen tersohor, Karl Lagerfeld yang telah berkolaborasi bersama jenama terkemuka seperti Fendi dan Chanel.
Namun, nama Lagerfeld mula dikritik hebat apabila dia menyatakan ketidakpuasan hati terhadap peragawati yang menggerakkan kempen anti pencabulan seksual #MeToo.
Dalam satu sesi temu bual bersama majalah fesyen Numero, Lagerfeld berkata, "Apa yang lebih memeranjatkan adalah apabila peragawati ini mengambil masa 20 tahun untuk mendedahkan gangguan seksual yang mereka hadapi.
"Mereka juga tidak mempunyai bukti bahawa mereka ini telah terlibat dalam gangguan seksual sewaktu bekerja di bawah mana-mana agensi.
"Jika mereka tidak mahu untuk membuka seluar untuk memperagakan jenama itu, lebih baik mereka menjadi seorang biarawati sahaja! Pasti mereka akan mengambil anda menjadi sebahagian daripada organisasi mereka," katanya.
Tambah Lagerfeld, sebagai pereka fesyen, pergerakan seperti #MeToo telah menyusahkan kerja mereka yang hanya mahukan terbaik buat jenama mereka.
"Saya ada terbaca, sekarang anda perlu bertanya kepada model jika dia selesa memberikan pose. Ini sudah melampau. Mulai hari ini, sebagai pereka fesyen, anda tidak boleh melakukan apa-apa," kata Lagerfeld yang ternyata tidak sependapat dengan golongan wanita yang mahukan diri mereka dilayan dengan lebih rasa hormat.
Namun, Lagerfeld dikecam hebat kerana komennya yang dikatakan tidak berperikemanusiaan itu oleh peragawati terkenal seperti Christine Teigen dan pelakon Whitney Cummings serta netizen di platform media sosial, Twitter.
Sementara itu, aktres Rose McGowan yang selama ini lantang menyertai kempen #MeToo, dengan mengetengahkan isu penindasan dan pencabulan ke atas wanita, khususnya dalam industri hiburan, telah menyambut kenyataan Lagerfeld dengan cara tersendiri.
McGowan telah memuat naik sekeping gambar di akaun Instagramnya yang menunjukkan dirinya bersama seorang biarawati yang dipanggil Sister Irene.
Antara lain, kapsyennya menyatakan bahawa Lagerfeld selama ini meraih kekayaan dengan memperalatkan wanita yang tidak dapat mempertahankan pendirian.