Model bukan satu kerjaya yang mudah - Tinie

Azyyati Ahmad
Mei 7, 2017 08:56 MYT
Temu bual bersama Tinie di episod pertama rancangan berkonsepkan gaya hidup, Style District. - Foto Andrews Models Agency
NAMA supermodel Hartini Yasin atau Tinie tidaklah asing dalam bidang peragaan bagi peminat dan pengikut industri fesyen negara.
Berpeluang untuk melihat Tinie di pentas peragaan sempena Kuala Lumpur Fesyen Week (KLFW) pada tahun lalu, membuat penulis menyimpan angan-angan untuk menemu bual Tinie dengan lebih dekat.
Angan-angan itu ternyata menjadi kenyataan apabila penulis diberi berpeluang menerbit dan mengacarakan rancangan gaya hidup terbaru di Astro AWANI, Style District.
Soalan pertama yang penulis tanyakan tentulah mengenai kerjayanya - apa yang mungkin masyarakat tidak tahu mengenai kerjaya peragaan ini.
“Tak mudah untuk menjadi seorang model. Tak semudah seperti yang anda sangkakan,” jawabnya dengan senyuman.
Berketinggian 180 sentimeter (sm) dan berusia hampir empat dekad, Tinie masih aktif dalam bidang peragaan sehingga sekarang.
“Jika anda mahu jadi model kerana populariti, lupakan saja. Cari bidang lain seperti menyanyi atau berlakon.
“Kerjaya ini adalah satu seni dan bintangnya bukan anda tetapi busana yang digayakan itu,” jelasnya.
Tinie juga bimbang kerana ramai anak muda ketika ini sangat mudah mendapat gelaran model, hanya sekadar menggayakan beberapa produk atas talian.
“Macam Maggi-lah. Mudahnya mendapat gelaran model. Bagi saya, kualiti seorang model itu perlu dijaga. Seorang model mestilah (sekurang-kurangnya) berketinggian 175sm bagi perempuan dan lelaki adalah 180sm untuk berada di pentas peragaan.
“Manakala potongan badan seseorang model perlu 32” 25” 35”, tak boleh lebih daripada itu. Jika tidak anda tidak muat sesuatu dres yang dihasilkan pereka. Itu kualiti seorang model yang perlu ada,” jelasnya yang turut menjadi mentor kepada model untuk pertunjukan fesyen di KLFW.
Tambah Tinie, tak kurang juga ada persepsi yang mempersoalkan mengapa ‘wajah tidak cantik’ diambil menjadi model.
“Ya, itu masalahnya bagi yang tidak tahu mengenai kerjaya ini. Menjadi peragawati bukan memerlukan wajah yang sangat cantik atau kulit yang sangat putih tetapi lebih kepada ‘edgy look’ yang boleh membawa sesuatu busana itu ke satu tahap mewah dan couture,” katanya.
Tinie turut ditanya mengenai rahsia catwalknya, lima barangan yang wajib dibawa di dalam tas tangannya dan nasihatnya kepada model-model baharu.
Tinie, menceburi bidang peragaan sejak usianya 22 tahun. Sepanjang kariernya beliau telah menerima gelaran Model of the Year di Malaysian International Fashion Awards (MIFA) untuk tahun 2006, 2007 dan 2009.
Ikuti temubual penuh penulis bersama Tinie di episod pertama, Style District.
#gaya hidup #KLFW #model #peragaan #Tinie
;