Mobile Legends: Siapa bakal juara Kejohanan MSC?
Mariah Ahmad
Ogos 12, 2017 08:56 MYT
Ogos 12, 2017 08:56 MYT
Penganjur permainan video atas talian, Mobile Legends: Bang Bang pada Jumaat mengumumkan hadiah bagi Kejohanan Jemputan Lima Negara Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) adalah berjumlah sebanyak RM429,500.
Lapan kumpulan dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Malaysia akan berentap untuk bergelar juara kejohanan ini, yang bakal berlangsung di Taman Anggrek Mall Atrium Jakarta, Indonesia 1 September nanti.
Kejohanan ini mencatat sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai kejohanan rasmi Mobile Legends yang pertama peringkat di antarabangsa.
Berikut adalah senarai kumpulan yang bersaing merebut gelaran juara Kejohanan MSC:
- Team Saiya - Malaysia
- MyA JR - Malaysia
- Salty Salad - Filipina
- Solid Gaming Alpha - Filipina
- Saints Indo = Indonesia
- Elite8 Ssport - Indonesia
- IDONOTSLEEP = Thailand
- Impunity - Singapura
Kejohanan ini bakal menyaksikan 14 pertarungan dengan format dua kali penyingkiran.
Mobile Legends merupakan satu permainan video mudah alih atas talian multi-pemain yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Moonton.
Setiap satu perlawanan, dua kumpulan akan bertarung untuk 'memusnahkan' pangkalan musuh mereka dan pada masa yang sama mereka juga perlu mempertahankan pangkalan sendiri melalui beberapa laluan yang dikenali sebagai "atas", "tengah" dan "bawah" yang menghubungkan kedua-dua pangkalan itu.
Mobile Legends dilancarkan pada 14 Julai tahun lalu di peranti Android dan 9 November pada tahun yang sama di peranti iOS.
Setakat Julai 2017, permainan itu telah dimuat turun oleh kira-kira empat juta pemain.