Mitsubishi XPANDER 2024 ‘facelift’ dilancar di Malaysia - dua varian, 1.5L 4AT, bermula RM99,980
Israr Khalid
September 20, 2024 09:30 MYT
September 20, 2024 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan model ‘facelift’ bagi XPANDER 2024, dengan beberapa penambahbaikan pada rupa dan fungsinya.
Kenderaan Serba Guna (MPV) tujuh tempat duduk buatan luar terlaris di Malaysia ini hadir dalam dua varian, iaitu XPANDER standard dan XPANDER Plus, masing-masing pada harga bermula RM99,980 dan RM109,980.
Sejak model ini dilancarkan pada 2020, lebih 40,000 unit XPANDER telah terjual di serata negara, menjadikannya MPV yang menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda, dengan pengalaman pemanduan bak SUV, XPANDER terbaharu ini direka dengan teliti untuk menepati keperluan pelbagai keluarga juga individu berjiwa kembara.
“XPANDER menawarkan ruang dalaman yang luas, bergaya, dan selesa, mendahului model seangkatannya - jarak permukaan tinggi 225mm menjadikannya praktikal untuk kegunaan seharian, walau dalam keadaan mencabar - juga dengan pelbagai kompartmen dan pilihan ruang simpanan, XPANDER direka untuk memeuhi keperluan keluarga moden.”
Tidak hanya reka bentuk yang lebih mengancam dan terkini, ia juga membawa pelbagai ciri baharu yang memberikan pengalaman memandu yang dipertingkat kepada pengguna juga keselesaan kepada penumpang.
Ciri ‘Dynamic Shield’ pada muka hadapan dipadankan dengan lampu utama LED lima kluster yang lebih besar berbentuk-T dibingkai palang krom yang lebih tebal, serta rekaan lampu nyalaan siang (DRL) menawarkan keterlihatan dan estetik yang lebih menawan.
Bahagian sisinya diperbaharui dengan rim aloi dua-tona gaya-bilah 17-inci baharu dibaluti tayar 255/55, serta kemasan warna perak pada bahagian bawah pintu.
Pada bahagian belakang, paling ketara adalah rekaan baharu pada unit pencahayaan yang lebih bersegi dalam perumah gelap, juga pada ‘bumper’ belakang yang lebih kemas dan ‘reflector’ menegak, serta ‘spoiler’ yang lebih lebar.
Ketinggiannya juga ditambah 20mm berbanding model sebelum ini, menjadikan XPANDER 2024 mempunyai jarak permukaan tinggi 225mm, terbaik dalam kelasnya.
Keselesaan pemanduan ditambah baik dengan rekaan baharu untuk papan muka 9-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu digital, pad pengecas tanpa wayar, serta brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi penahan automatik yang menggantikan fungsi brek tangan pada model terdahulu.
Tak banyak penambahan pada aspek mekanikal XPANDER 2024, masih dipacu enjin 1.5L empat silinder MIVEC DOHC dengan hamburan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm, dan kotak gear automatik empat-kelajuan (4AT).
Ciri keselamatan juga tiada yang baharu, cuma penambahan kamera tinjauan 360 darjah, perakam video digital DVR depan dan belakang, serta sensor undur untuk varian XPANDER.
XPANDER 2024 boleh didapati dalam empat warna pilihan, iaitu Diamond Black, Red Metallic, Graphite Gray (baharu), dan Quartz White Pearl (tambahan RM300), hadir bersama jaminan 5 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk kedua-dua varian.
500 pelanggan pertama yang membuat tempahan dan mendaftar XPANDER melalui Mitsubishi Online Showroom akan menerima Naturehike Camping Wagon bernilai RM400.