Miri tersenarai dalam 9 destinasi alam semula jadi paling popular di Asia
Dagang News
Mac 10, 2024 12:27 MYT
Mac 10, 2024 12:27 MYT
AGODA menyenaraikan Miri, Sarawak sebagai beberapa destinasi alam semula jadi yang paling digemari di Asia, berdasarkan data carian yang dibuat pada Januari 2024 sempena pelancaran Eco Deals 2024.
Menurut platform pelancongan digital itu, Eco Deals 2024 merupakan kerjasama bernilai AS$1 juta antara Agoda dengan World Wide Fund for Nature (WWF).
Selain Miri, katanya, lapan lagi destinasi yang tersenarai termasuk, Ooty, India; Lombok, Indonesia; Hakone, Jepun; Siquijor Island, Filipina; Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan; Hualien, Taiwan; Khao Yai, Thailand dan Dalat, Vietnam.
Naib Presiden Asia Tenggara Agoda, Enric Casals berkata, beliau berasa amat bangga dan teruja bahawa dengan edisi ketiga program Eco Deals itu, pihaknya berjanji untuk menyumbangkan sehingga AS$1 juta kepada projek-projek pemuliharaan WWF di seluruh Asia Tenggara.
"Program Eco Deals dapat membantu para pelancong untuk memberi sumbangan mereka bagi melindungi keindahan alam semula jadi agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.
Menurut Agoda, Miri merupakan pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu yang disenaraikan oleh UNESCO.
Katanya, Taman Negara tersebut adalah sebuah kawasan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar dan mempunyai gua yang luas termasuk Sarawak Chamber, ruang gua terbesar di dunia mengikut keluasannya.
"Di sini, para pelawat boleh menerokai pembentukan kars, mendaki gunung api untuk melihat pemandangan yang menakjubkan di puncaknya, dan menyaksikan penghijrahan kelawar di Gua Rusa, melalui denai hutan yang mencabar dan juga menaiki bot," katanya.
Tambahnya, sejak pelancarannya pada 3 Mac 2024 yang turut jatuh pada Hari Hidupan Liar Sedunia, pelancong ke Asia Tenggara boleh menempah Eco Deals di Agoda.
Katanya, bagi setiap tempahan Eco Deals, AS$1 akan didermakan kepada projek-projek pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF) untuk melindungi hidupan liar dan memulihara habitat kritikal di Asia Tenggara.
"Di samping itu, pelancong juga boleh menikmati diskaun sehingga 15%," katanya. - DagangNews.com