Minum 'bubble tea' tak ingat dunia? Ini nasihat pakar pemakanan

Hasimi Muhamad
September 4, 2019 08:00 MYT
Menurut Mastari, bijian pearl atau lebih dikenali sebagai boba yang dicampurkan di dalam minuman bubble tea tidak mengandungi sebarang nutrisi, melainkan kalori dan karbohidrat sahaja. - Gambar hiasan
MENGIKUT kajian yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pengambilan gula yang dicadangkan kepada setiap individu adalah maksimum lima hingga 10 sudu teh gula setiap hari.
Tetapi sedarkah anda, kandungan gula di dalam minuman bubble tea yang kini menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat sebenarnya sudah melebihi daripada saranan yang ditetapkan?
Di Malaysia sahaja, dianggarkan terdapat lebih 50 jenama yang menawarkan pelbagai jenis minuman bubble tea. Ya benar, ia sedap, tetapi bagaimana pula dari segi aspek kesihatan?
Menurut Pakar Pemakanan dan Pengurus Jabatan Dietetik dan Perkhidmatan Institut Jantung Negara (IJN), Mastari Mohamad, kandungan gula dalam segelas minuman bubble tea cukup membimbangkan.
Katanya, segelas minuman tersebut dianggarkan mengandungi antara lapan hingga 20 sudu teh gula.
“Jadi, itu memang sangat tinggi sebab kalau ikutkan dalam sehari, pengambilan gula untuk seorang yang normal tidak boleh melebihi 10 peratus daripada pengambilan kalori.
“Contohnya, seorang lelaki bersaiz badan sederhana seperti orang Asia, keperluan kalori mereka sebanyak 2,000 sehari. Jadi, ia (pengambilan gula diperlukan) lebih kurang 200 kalori sahaja, iaitu kira-kira 10 sudu teh,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Selasa.
Jelasnya, pengambilan gula secara berlebihan boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti masalah obesiti, kencing manis dan jantung.
Ujar beliau lagi, bijian pearl atau lebih dikenali sebagai boba yang dicampurkan di dalam minuman bubble tea tidak mengandungi sebarang nutrisi, melainkan kalori dan karbohidrat sahaja.
Lebih membimbangkan, kata Mastari, ia dikhuatiri mengganggu sistem penghadaman badan sekiranya pearl atau bebola hitam tersebut diambil secara berlebihan.
Pearl diperbuat daripada tepung ubi atau tepung kanji. Apabila ada tindak balas dengan makanan-makanan lain, mungkin ia menyebabkan sukar untuk dihadam.
“(Tambahan pula), jika seseorang itu tidak mengamalkan cara pemakanan yang seimbang seperti kurang minum air dan makan sayur, maka sistem pelawasan itu tidak berlaku dan seterusnya menyebabkan masalah (pearl tidak dihadam) tersebut timbul,” katanya.
Bagaimanapun, katanya terdapat cara untuk menghasilkan bubble tea yang lebih sihat.
“Jangan letak banyak gula dan kita boleh gunakan susu rendah lemak, tambah buah-buahan, fiber atau menggantikan pearl dengan biji selasih untuk menghasilkan tekstur dalam minuman.
“Ramai juga yang mengamalkan biji chia kerana selain memberikan tekstur, makanan itu mengandungi banyak antioksidan dan Omega 3 yang memberi faedah kepada kesihatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mastari turut menyeru pihak pengeluar dan penjual minuman bubble tea agar menyediakan maklumat mengenai kandungan gula dalam setiap hidangan minuman yang dijual.
“Jadi, dengan kaedah ini kita boleh berlaku adil kepada pelanggan yang mahu menikmati bubble tea. Pada masa sama, pelanggan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka,” katanya.
#Boba #bubble tea #Food Panda #Grab Food #Kementerian Kesihatan #kesihatan #masalah jantung #obesiti #Pearl #WHO
;