Minggu Fesyen Kuala Lumpur kembali buat kali ketiga

Linawati Adnan
Ogos 12, 2015 16:25 MYT
KLFW RTW 2015 ataupun Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 kembali buat kali ketiga
MINGGU Fesyen Kuala Lumpur membuka pentas peragaannya secara rasmi di pusat beli belah Pavillion di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Isnin.
Acara tersebut yang lebih dikenali sebagai KL Fashion Week (KLFW) Ready-to-Wear 2015 telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Kembali buat kali ketiga, acara fesyen terkemuka negara dengan usaha sama Kementerian Pelancongan ini fokus untuk meningkatkan perniagaan fesyen dan industri runcit negara.
Penganjur KLFW, Andrews Models menjanjikan lima hari yang penuh bergaya bermula 12 hingga 16 Ogos 2015 di lokasi rasmi seperti tahun-tahun sebelumnya di Pavillion.
Berbanding acara terdahulu, pengasas KLFW Andrew Tan berkata minggu fesyen tahun ini dijangka akan menjadi yang terbesar di negara ini.
Acara kali ini bakal menempatkan lebih 80 pereka tempatan dan antarabangsa antaranya dari China, Britain, Singapura, Australia dan Indonesia, yang akan mempamerkan koleksi eksklusif mereka di pentas peragaan.
Selain itu, KLFW 2015 juga membuka peluang kepada pereka muda yang bercita-cita tinggi dalam dunia fesyen untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi menempa nama dalam industri fesyen AirAsia Runway Ready Designer Search.
#Andrew Tan #Andrews Models #kementerian pelancongan #KLFW 2015 #KLFW RTW 2015 #Tourism Malaysia
;