Millenia Village... syurga persaraan bercirikan kelestarian, gaya hidup aktif

Nickyson Nyambar
Jun 15, 2024 11:00 MYT
Millenia Village di Seremban, Negeri Sembilan menawarkan kehidupan ideal untuk anda selepas bersara. - Gambar Millenia Village
APABILA bercakap mengenai impian selepas bersara, pasti ramai yang mendambakan ketenangan serta kedamaian.
Tidak kurang juga, ada yang memilih untuk kekal aktif dengan aktiviti-aktiviti rekreasi seperti bersukan, berenang, bercucuk tanam dan pelbagai lagi aktiviti yang bersesuaian dengan kudrat pada usia emas.
Pejamkan mata dan bayangkan... kehidupan ideal untuk anda selepas bersara ini sudah tersedia bukan lagi angan-angan. Anda boleh menikmati kedua-duanya pada masa sama.
Itu yang ada di Millenia Village yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.
Apabila diiimbas, pasti ramai yang menyangka ia adalah sebuah resort bertaraf lima bintang, sebaliknya ia adalah pusat jagaan warga emas.
Bangunan yang berlatar belakangkan tumbuhan hijau serta landskap yang terjaga rapi memayungi laluan menuju ke premis ini.
Sekali gus, membawa kepada suasana tenang dan damai yang tersendiri dalam kalangan penghuninya.
"Kami percaya, golongan 'senior' (warga emas) bukan hanya sekadar memerlukan tempat tinggal, tetapi mereka juga memerlukan komuniti yang pelbagai serta menarik yang dapat memenuhi keperluan mereka yang tersendiri.
"Realiti ini dapat dicapai dalam 'tempoh emas' sama seperti pada awal usia," kata pengasas Millenia Village, John Chia, dalam pelancaran premis untuk warga emas itu baru-baru ini.
Ujarnya, komitmen untuk menubuhkan pusat jagaan dengan ciri-ciri resort lestari ini juga adalah sebagai menyahut kepada seruan kerajaan untuk mendirikan fasiliti berkualiti seiiring persediaan negara berdepan dengan status Malaysia sebagai 'aging nation' atau negara menua menjelang 2030.
Pusat jagaan ini dilengkapi dengan segala keperluan yang direka khusus termasuk program-program diaspirasi serta disesuaikan dengan aspek kesejahteraan golongan ini.
Antara kemudahan yang ada merangkumi taman yang direka khusus, kebun 'eko' berkeluasan dua hektar, gimnasium, kolam renang, perpustakaan, teater serta ruang acara yang dapat menampung seramai 200 orang.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Millenia Village, Diane Chia berkongsi aspirasi resort berkenaan didirikan atas prinsip kebersamaan dan kegembiraan yang menyumbang kepada kesejahteraan berpanjangan dalam hidup.
"Kami bermatlamat untuk menambah baik kualiti kehidupan warga emas, menyediakan mereka dengan tempat yang selamat, selesa dan persekitaran yang memudahkan aktiviti sosial mereka.
"Kelebihan yang ada pada resort berkeluasan 32 hektar ini, trafik yang kurang, bunyi bising dan mengekalkan privasi serta kualiti udara yang tidak tercemar," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Astro AWANI.
Terdahulu, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang menyediakan Agenda Negara Menua yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan mendukung usaha berkenaan dan selari dengan pendekatan whole-of-nation approach atau penglibatan secara menyeluruh.
Jelasnya, agenda ini merangkumi cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan buruh serta penggunaan teknologi untuk menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan mampan buat golongan berkenaan.
#millenia village #bersara #pusat jagaan #warga emas #negara menua
;