Miliki skil bola sepak yang hebat, nama Farahiyah mula jadi sebutan
Madiha Abdullah
September 25, 2015 10:52 MYT
September 25, 2015 10:52 MYT
Mungkin tidak ramai yang tahu tentang Kejohanan Futsal Wanita AFC yang sedang berlangsung kini. Berbeza dengan bola sepak konvensional, kejohanan futsal dilihat kurang mendapat perhatian rakyat Malaysia, apatah lagi yang membabitkan pasukan wanita.
Namun prestasi baik yang ditampilkan pasukan futsal wanita negara dalam kejohanan tahun ini sedikit sebanyak berjaya menarik perhatian. Ketika ini pasukan negara sudah berjaya menempah tempat ke separuh akhir.
Lebih menarik, pemain Malaysia, Farahiyah Ridzuan, kini merupakan penjaring terbanyak kejohanan berkenaan dengan tujuh gol.
Di laman sosial, nama Farahiyah menjadi sebutan gara-gara kehebatannya. Bukan sahaja kerana wajah comelnya, tetapi ramai yang terkejut dengan mutu permainan yang ditunjukkan gadis kecil molek itu.
Reaksi netizen terhadap mutu permainan Farahiyah.
Malah, tidak kurang juga yang menyamakan skil yang dimiliki Farahiyah setanding dengan pemain lelaki.
Farahiyah, 21, merupakan kapten pasukan futsal KL Felda United dan sudah diserapkan ke pasukan futsal kebangsaan sejak berusia 13 tahun.