Merdeka, Merdeka, Merdeka!
Maisarah Atan
Ogos 31, 2013 07:56 MYT
Ogos 31, 2013 07:56 MYT
Pada ambang Merdeka saya kerja lebih masa. Kebetulan pejabat saya hampir dengan Dataran Merdeka, jadi buat pertama kali dalam 26 tahun saya dapat menyaksikan bagaimana keadaan pada Malam Merdeka.
Di sepanjang Jalan Tun Perak penuh dengan penjual topi, lampu hiasan, trumpet, belon... Para pengunjung ada yang dalam kumpulan kawan-kawan, ada yang datang dengan keluarga. Memang meriah! Masing-masing datang untuk satu tujuan:
Untuk sama-sama "countdown" mengira detik 10 saat sebelum tengah malam menyambut kedatangan 31 Ogos, hari yang tercatat sebagai Hari Kemerdekaan Malaysia.
Semangat yang sangat bagus, yang menunjukkan betapa dalam banyak perbezaan fahaman, kepercayaan dan pendapat, masih ada titik persamaan yang menyatukan rakyat Malaysia.
Tapi adakah dengan berkumpul di Dataran Merdeka sahaja sudah menunjukkan kita merdeka? Adakah dengan laungan sahaja? Adakah dengan mempunyai satu hari cuti yang dinamakan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan sudah memerdekakan sesuatu bangsa?
Apakah erti kemerdekaan sebenar?
Merdeka dalam definisi kasarnya adalah bebas. Bebas yang mutlak bukan setakat boleh berjalan-jalan ke mana-mana; malah juga bebas memperkasa diri dengan hak untuk mendapat pendidikan, untuk bekerja, bebas bersuara... Namun itu semua merdeka pada zahir.
Merdeka perlu bermula dari dalam hati, kata saya.
Bebas, bijak, terbuka, dan jati diri yang kukuh. Itulah 4 elemen dalam kemerdekaan seorang individu.
Bebas bukan dalam erti kata boleh buat apa sahaja tanpa batas sampai hilang perasaan malu, sampai lupa apa yang tergaris sebagai betul dan salah. Tidak. Di situ perlu ada ilmu; perlu bijak.
Bijak bukan dalam erti kata kita sahaja yang pandai. Bak kata kawan saya "Jangan jadi bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh dibentuk." Ilmu itu luas, dan boleh dimantap serta diperkaya melalui perkongsian, perbincangan. Di situ perlu ada keterbukaan.
Terbuka bukan bererti boleh menerima apa sahaja yang dihidangkan. Bukan mengikut sahaja arus terkini sampai hilang nilai-nilai baik yang ada dalam budaya. Terbuka itu memahami ketidaksamaan, dan bukannya perlu mengikut setiap cara dan fahaman, budaya orang lain hingga kita hilang identiti. Di situ pentingnya jati diri yang kukuh.
Itu baru merdeka. Dan lagi:
Merdekanya kita apabila sejarah bukan lagi dikenang dan diceritakan sebagai "bedtime story" atau untuk lulus matapelajaran Sejarah sahaja.
Dipelajari buah butir setiap helaian perjanjian, dihayati setiap titis darah peperangan, dikaji jatuh bangun sesebuah bangsa; itu yang akan buat kita lebih faham asas pembentukan bangsa yang gemilang.
Itu yang membangkit rasa bangga dengan pejuang kemerdekaan terdahulu dan itu juga menyemarakkan semangat mempertahankan keamanan dan kesejahteraan atas nama kasih dan cinta pada tanah air.
Nah. Barulah lengkap seorang rakyat yang betul-betul merdeka. Merdeka yang mutlak.
Jadi tanya dan jawab: anda dah merdeka ke belum?