Merata Suara: Kepelbagaian suara mereka yang terpinggir

Astro Awani
Februari 15, 2018 14:34 MYT
Adalah penting penting untuk generasi masa kini mengenali sejarah sendiri agar mampu memahami antara satu sama lain.
Satu pameran yang memaparkan kepelbagaian suara mereka yang terpinggir bagi menyedarkan penduduk bandar akan kisah-kisah migran, guru silat wanita, penenun manik Borneo, pelukis Orang Asli dan bekas anggota komunis wanita.
Pameran bertajuk “Merata Suara” adalah usaha kerjasama di antara kumpulan sivil yang dikenali sebagi Projek Dialog dan Kedutaan Kanada di Malaysia.
Dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada Julia Bentley, pameran ini menampilkan ruang dan hasil karya interaktif.
Kurator pameran Suzy Sulaiman menerangkan bahawa konsep interaktif adalah untuk membolehkan para pelawat menghayati dan memahami konsep sejarah sesebuah negara.
Bentley berkata, penting untuk generasi masa kini mengenali sejarah sendiri agar mampu memahami antara satu sama lain.
"Sebahagian besar pengalaman saya tinggal di banyak tempat, kebanyakannya terdiri daripada mereka cenderung berada dalam zon selesa. Mereka biasanya bergaul dengan golongan yang hampir serupa. dengan mereka.
"Masyarakat kami tidak sebegitu, terutamanya masyarakat di Kanada dan Malaysia yang merupakan masyarakat berbilang budaya dan pluralistik di mana orang datang dari latar belakang yang sangat berbeza.
"Pameran ini mungkin proses yang sangat kreatif bagi mencerminkan suara apa yang ingin didengar berhubung isu-isu yang berkaitan dengan sejarah," kata Bentley.
Pengurus Projek Dialog, Ahmad Fuad Rahmat menyatakan tema Merata Suara bermakna meratakan atau menyamakan semua suara di mana tiada hierarki atau prioriti, dan semua suara akan didengar.
Ingatan Welding, karya Okui Lala menceritakan kisah perjalanan pekerja migran wanita di dalam genre filem dan teks. Eleanor Goroh pula menenun kisah Malaysia Timur dan Barat melalui kanvas lukisan dan manik yang diutas.
Para pelawat juga diajukan kertas soalan PMR untuk dijawab bagi menilai sejauh mana pengetahuan sejarah mereka dan pada masa yang sama akan diberitahu kisah bekas seorang komunis wanita berasal dari Bentong, Pahang. Para wanita ini yang kini sudahpun lanjut usia, turut ditemuramah oleh artis Yana Rizal di dalam pameran tersebut.
Seorang lagi artis, Victoria Cheng pula menceritakan kisah guru silat wanita yang sudah berusia dari Gurun, Kedah dan dialog antara mereka. Guru silat tersebut akan datang membuat pertunjukan silat menggunakan selendang yang dijadikan senjata di Kuala Lumpur semasa pameran berlangsung.
Poodien, seorang pelukis Orang Asli yang pernah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa turut mempamerkan karya beliau yang menceritakan mengenai kesamaan antara manusia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/events/2044656495747644/.
#filem #guru #Julia Bentley #Kanada #Malaysia #Orang Asli #pameran #uzy Sulaiman #wanita
;