Merajuk dengan isteri, lelaki Jepun tidak bercakap 20 tahun
Madiha Abdullah
Januari 1, 2017 14:05 MYT
Januari 1, 2017 14:05 MYT
HANYA kerana cemburukan perhatian yang diberikan isterinya kepada anak-anaknya, seorang suami merajuk sehingga tidak bercakap dengan isterinya selama 20 tahun.
Kisah pasangan itu mendapat perhatian selepas tiga anak mereka bertindak mengadu perihal ibu bapa mereka itu kepada sebuah program televisyen di Jepun, dengan harapan ia dapat membantu memulihkan hubungan mereka sekeluarga.
Otou Katayama masih tinggal sebumbung dengan isterinya, Yumi, dan anak-anaknya di Nara, utara Jepun, namun tidak pernah bersuara.
Sebaliknya, dia hanya mengangguk, menggeleng dan merengus untuk menunjukkan perasaan terhadap sesuatu perkara.
Anak lelaki mereka, Yoshiki, 18, kemudiannya meminta bantuan sebuah program yang disiarkan Hokkaido TV, agar melakukan sesuatu.
Pasangan itu kemudiannya dibawa ke sebuah taman, yang secara kebetulan, merupakan tempat di mana mereka bertemu kali pertama, lebih 21 tahun lalu.
Mereka akhirnya bercakap buat kali pertama selepas 20 tahun, disaksikan anak-anak mereka dari jauh, yang nyata tidak dapat menahan tangisan mendengar perbualan pertama ibu bapa mereka.
"Saya merajuk kerana awak terlalu memberi perhatian kepada anak-anak.
"Saya hargai kesabaran awak. Saya harap hubungan kita akan jadi lebih baik selepas ini," kata Otou.
Sumber: YouTube Online News