Menu chef Sarawak dan nasi lemak dapat sambutan hangat di acara gastronomi Rusia

Bernama
Jun 1, 2024 16:55 MYT
Muhammad Aiman (kanan) berkata hidangan Sarawak dipilih untuk pertandingan kerana ia mewakili banyak rasa semula jadi Malaysia. - Facebook Hospitality & Culinary Students Association UCSI
MASAKAN Malaysia mendapat sambutan luar biasa semasa pertandingan masakan antarabangsa di Kazan, Rusia dengan hidangan yang diilhamkan oleh chef muda dari Sarawak memenangi pingat emas manakala nasi lemak kegemaran Malaysia muncul sebagai item terlaris pada acara itu.
Pertandingan masakan itu adalah sebahagian daripada Forum Ekonomi Rusia-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-15 (KazanForum 2024) yang diadakan dari 14 Mei hingga 19 Mei.
Anak kelahiran Sarawak Muhammad Aiman Saiful Anuar yang merupakan pensyarah seni kulinari dan pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa di Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan Universiti UCSI, merangkul pingat emas dalam kategori View Without Borders di pertandingan Young Chefs International Culinary.
Selain Aiman, 24, chef muda dari 13 negara Islam termasuk Azerbaijan, Rusia, Mesir, Maghribi, Tunisia, Uzbekistan, Lubnan, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Senegal, Algeria dan Iran turut mengambil bahagian.
Chef dari Miri itu menyediakan hidangan lazat yang diilhamkan oleh warisan masakan Bumi Kenyalang.
Hidangan yang memenangi pertandingan itu ialah umai udang (hidangan berasaskan udang) sebagai pembuka selera; ikan dalam sos percik, ayam bergedil dan serunding, acar jelatah (sejenis jeruk) dan sambal (perasa terutamanya diperbuat daripada cili) sebagai hidangan utama.
Beliau mengakhiri persembahannya dengan pencuci mulut unik dari Sarawak, sagu gula apong dengan puri mangga, mangga dipotong dadu dan coconut foam bersama dengan tebaloi (biskut sagu Melanau).
Jurulatihnya, Penolong Profesor Chef Mohamad Fadzly Che Omar yang juga timbalan dekan fakulti dan anak jati Sarawak turut hadir untuk memberi bantuan.
Bercakap kepada BERNAMA, Muhammad Aiman berkata hidangan Sarawak dipilih untuk pertandingan kerana ia mewakili banyak rasa semula jadi Malaysia. Contohnya, umai udang menggunakan serai dan bunga kantan.
Beliau menganggap kemenangannya di Rusia sebagai pengalaman yang luar biasa dan istimewa sehingga kini, memikirkan tentangnya masih membuatkan beliau terharu.
"Saya mempunyai banyak tanggungjawab. Saya menguruskan kerja sebagai pensyarah chef, pelajar sarjana, pemilik perniagaan, dan jurulatih untuk pasukan kulinari UCSI. Tetapi dari lubuk hati saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mentor saya Chef Mohamad Fadzly; beliau adalah sebab utama saya menerima pingat ini," katanya.
Mohamad Fadzly, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Gastronomi Malaysia, dan Aiman turut membuat kajian mengenai selera rakyat Rusia sebelum menyediakan menu yang menarik minat mereka.
Sementara itu, hidangan Malaysia lain yang ditawarkan di gerai makanan Malaysia di KazanForum termasuk roti tidak beragi dengan salmon tartare sebagai pembuka selera; hidangan utama nasi lemak dengan sambal udang; acar lobak putih, lobak merah dan timun sebagai salad; sagu gula Melaka dengan mangga sebagai pencuci mulut, serta teh masala panas.
Semua ini, disajikan dalam kotak bento di gerai Malaysia, habis dijual dengan cepat sepanjang acara tiga hari itu.
Kotak bento lain dengan hidangan Malaysia termasuk salad diperbuat daripada udang, mangga, tomato, avokado dan sos kimchi, bersama daging lembu rebus dan kentang lenyek dengan kelapa; pencuci mulut sagu gula Melaka serta teh masala.
Golongan vegan dan vegetarian juga tidak dilupakan. Kotak bento dengan acar lobak putih, lobak merah dan salad timun; nasi lemak dengan tauhu perap, timun, dan kacang tanah; pencuci mulut sagu gula Melaka; dan teh masala dengan susu kelapa turut disediakan.
Presiden Persatuan Gastronomi Malaysia, Chef Rossham Rusli yang juga ahli juri dalam pertandingan itu meluahkan kegembiraannya atas sambutan yang menggalakkan terhadap masakan Malaysia dengan lebih 100 kotak bento dijual setiap hari. Beliau menggambarkan pencapaian itu sebagai 'jualan tsunami.'
Rossham yang juga setiausaha agung World Platform of Islamic Countries Culinary Societies dan ketua pasukan kulinari Malaysia dalam acara itu berkata beberapa bahan untuk menyediakan hidangan Malaysia yang dijual di Kazan diperoleh secara tempatan manakala sebahagiannya dibawa dari Malaysia.
Chef eksekutif di Nilai Springs Resort Hotel berkata beberapa pelarasan dan bahan-bahan tempatan digunakan untuk disesuaikan dengan hidangan Malaysia mengikut selera rakyat Rusia.
Sebagai contoh, nasi lemak yang dijual di Rusia dimasak menggunakan beras yang digunakan dalam risotto dan bukannya beras dari Malaysia manakala udang untuk sambal udang diperoleh dari Rusia.
Menurut Rossham, teh masala dipilih sebagai minuman tambahan kerana ketiadaan serbuk teh dan susu pekat yang serupa dengan yang ada di pasaran Malaysia manakala untuk sagu gula Melaka, versi tempatan sagu digunakan
Di pihak tuan rumah, Pengerusi Lembaga Persatuan Restoran Tatarstan Chef Mikhail Sharipov mencatatkan perubahan ketara dalam pertandingan tahun ini, dengan hidangan negara finalis dijual kepada tetamu, tidak seperti pertandingan sebelum ini di mana hanya hakim yang boleh merasainya.
Dengan format baharu ini, setiap negara bekerjasama dengan restoran tempatan di Kazan dalam menyediakan makanan kebangsaan masing-masing.
"Restoran saya, Skazka, yang terletak di Bauman Street di Kazan bekerjasama dengan delegasi Malaysia dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada tetamu," tambahnya.
Sharipov menyatakan kegembiraannya dapat bekerjasama dengan pasukan kulinari Malaysia dalam menyediakan makanan Malaysia untuk diperkenalkan di forum tersebut.
Malah beliau bersedia untuk memperkenalkan makanan Malaysia di restorannya yang berusia lebih 50 tahun di Kazan dan mempelawa mana-mana pelabur Malaysia yang berminat dalam perniagaan untuk bekerjasama dengannya.
-- BERNAMA
#makanan malaysia #nasi lemak #Kazan Forum #chef sarawak #Muhammad Aiman Saiful Anuar
;