Menjelang Hari Raya
Datuk Halimah Mohd Said
Jun 4, 2019 16:51 MYT
Jun 4, 2019 16:51 MYT
MENJELANG Hari Raya Aidil Fitri, beberapa ingatan masa lampau terlintas dalam memori dengan perasaan penuh nostalgia. Menziarah kubur ibu bapa dan ahli keluarga yang telah pergi dahulu mengimbas kembali bayangan peristiwa semasa bersama di alam fana. Tidak putus-putus mendoa’kan semoga mereka dikurniakan tempat yang mulia di Jannatul Firdausi.
Sepanjang Ramadan lebih banyak kenangan sebab lebih kerap mengingati dengan bersedekah doa'. Mungkin seperti kata orang lama, roh si mati kembali meninjau anak-cucu di rumah. Mungkin yang pergi juga rindu sebab terpisah daripada keluarga tersayang. Mungkin lebih sayu daripada kita yang sibuk dengan tugas harian.
Sudah tentu seperti pesanan ibu bapa dahulu pada hari baik bulan baik, peristiwa-peristiwa gembira yang berlaku seperti perjumpaan di majlis-majlis buka puasa disamping menikmati juadah yang istimewa dan perhimpunan melakukan sembahyang-sembahyang sunat semuanya menjalin silaturrahim yang mesra. Diharapkan ia akan diberkati Allah SWT dan diminta doa'-doa' yang kita lafaz dengan ikhlas serta penuh kusyuk akan dimakbulkan In Sya Allah.
Lagu-lagu Melayu mula berkumandang di majlis buka puasa dan di tempat membeli-belah. Antaranya lagu baru berirama rancak dengan lirik yang dipenuhi kata-kata riang belaka, berbanding lagu lama berirama merdu yang membayangkan perasaan sedih hati yang terpisah daripada keluarga tersayang.
Adakah fenomena "terkenang masa dulu/ hatiku rasa rindu" (lirik lagu R Azmi tahun 50an) dalam hidup orang Melayu ini sudah berubah? Mungkinkah orang Melayu kini sudah lebih praktikal dan tidak lagi mementingkan emosi ingin bersama dengan sanak saudara pada Hari Raya?
Mungkin anak muda yang tidak pernah menikmati pengalaman hidup di kampung tidak mengenali keindahan dan kebahagiaannya seperti orang datuk nenek mereka dahulu. Mungkin mereka kurang bersimpati sebab 'kalau tak tahu, memang tak cinta' seperti dinyatakan oleh orang lama dalam sajak ini:
AKU PERNAH MUDA
Seperti Kau Juga Akan Tua
Kalau kau sangka aku sudah tua
Seperti bunga diserang sang suria
Lesu tangkai, layu kelopaknya
Hilang wangi, habis madunya
Lemah maya, luruh jasadnya.
Seperti kau juga, aku pernah muda
Megah mekar mawar berbunga
Harum semerbak, kekar kuntumnya
Lawa memutih, manisan rasa
Dipuja kash dipuji rata.
Tua, Muda; Kanak-kanak, Dewasa;
Baru, Lama; Berumur, Remaja;
Pusingan jam pasir dunia
Pandangan mata kaca manusia
Bandingan masa, imbangan ketika.
Seperti mengesan
Anak bulan Ramadhan
Pemastian puasa
Penentuan purnama
Peralihan waktu alam nyata.
Aku tua di sisi kau yang muda
Namun muda di sisi insan tua;
Bagai teka-teki menduga
Reka akal menyangka
Ukur usia mudah sahaja.
Tetapi – kalau kaca mata
Sudi dibuka
Kaca pasir jadi intan permata
Gerhana bulan terang cahaya
Empulur hati tiada baya.
Mestikah tua bermakna tidak muda
Tidak berguna, tidak berdaya?
Bukankah tua tanda
Kekal abadi akal dan jiwa?
Akar tunjang berasal nyawa
Berurat berumbi, berbenih mulia;
Bak ubi hina tumbuh merata
Semakin berisi semakin lama
Teguh saraf, kukuh baka
Seharus juga engkau yang muda.
(HMS 1997)
Sememangnya, orang yang membesar di kampung dan sekarang bermastautin di bandar akan merasai kerinduan setiap kali mendengar lagu Hari Raya dan melihat imej orang yang menyambut Hari Raya di kampung halaman sendiri. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa dan sanak saudara yang tinggal di kampung.
Bagaimana pula dengan mereka yang bertugas pada Hari Raya dan tidak berpeluang menyambutnya dengan saudara mara? Alangkah sedih rasa di hati.
Di sini saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada anggota keselamatan negara seperti polis, askar dan bomba yang sanggup berkorban memelihara ketenteraman dan keamanan negara tidak kira masa dan waktu. Sudah tentu ramai daripada mereka yang bertugas pada Hari Raya dan menghadapi risiko keselamatan yang tinggi. Sudah pasti keluarga mereka mengingati mereka dengan penuh kasih sayang pada hari baik bulan baik ini.
Patutkah peranan mereka hanya dihargai jika tercetus kekacauan, peperangan, kebakaran atau malapetaka yang dahsyat sahaja? Mungkin tabii manusia sememangnya begitu. Kita hanya menghargai sesuatu apabila ianya ditonjol depan mata kita, atau ianya mempunya nilai material yang tinggi. Kita mudah lupa kerana tidak banyak lagu yang mendendangkan sumbangan anggota keselamatan negara kepada rakyat biasa. Mereka merupakan unsung heroes.
Saya dan keluarga bertuah dapat berbuka puasa dengan sekumpulan kecil anggota polis dan bomba malam tadi. Mereka mengawal kawasan di mana terletak kawasan perumahan, perniagaan dan stesyen minyak di mana mungkin berlaku pelbagai jenayah kecil atau gangguan hidup yang lain. Kami meraikan mereka dan mengucapkan terima kasih dengan juadah buka puasa yang paling sederhana tetapi dalam suasana yang meriah dijalini silaturrahim yang ikhlas.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Astro AWANI yang memberi saya peluang menulis dalam ruang mereka setiap minggu. Amat besar hati mereka menghulur jasa yang saya sambut dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri diucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Semoga pada bulan Syawal yang mulia ini, kita semua dapat mengimbas kembali segala ingatan yang baik dan berfaedah. Tinggalkan saja kenangan yang menyedihkan.
* Dato' Halimah Mohd Said ialah Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.