Meninggal dunia di Madinah, pengakhiran indah buat Ramadhan
Madiha Abdullah
Januari 21, 2017 14:00 MYT
Januari 21, 2017 14:00 MYT
HAMPIR tujuh bulan bertarung dengan penyakit kanser darah atau leukimia, Muhammad Ramadhan Alias menemui pengakhiran yang cukup indah.
Tewas dalam pertarungan dengan penyakit itu, namun Ramadhan dijemput pergi ketika dalam perjalanan untuk menyempurnakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
Kisah Ramadhan mendapat perhatian masyarakat dan liputan meluas media selepas dia mendapat tajaan daripada kerajaan negeri Terengganu untuk menunaikan umrah, seperti yang diimpikannya.
Ramadhan bersama ibunya, Saibah Yaakub berlepas ke Madinah, Rabu lepas.
Portal Harian Metro melaporkan, Ramadhan dan ibunya sepatutnya berlepas ke Mekah dari Madinah semalam, namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaannya yang semakin tenat.
Keluarga dimaklumkan tentang kematian Ramadhan yang mesra disapa Adam dalam kalangan ahli keluarga, pagi tadi.
Ramadhan disahkan menghidap kanser darah tahap tiga pada bulan puasa tahun lalu, dan dijangka doktor mempunyai hanya beberapa bulan untuk hidup.
Difahamkan, Ramadhan yang sepatutnya menyambut hari kelahirannya yang ke 21, pada 23 Januari ini, akan dikebumikan di Madinah.