Menghadap jam berjam-jam lamanya... Ini kisah Mohd Firdaus

Bernama
April 19, 2022 15:10 MYT
Ketajaman penglihatan Mohd Firdaus merupakan aset yang amat penting untuk memastikan bahagian-bahagian kecil dalam seutas jam tangan berfungsi sempurna. - Bernama
KUCHING: Meskipun semakin ramai yang bertukar kepada jam tangan pintar atau hanya menggunakan telefon bimbit untuk melihat waktu, Mohd Firdaus Abdullah masih setia dengan kerjanya sebagai tukang membaiki jam tangan.
Boleh dikatakan selama 20 tahun, kerja lelaki berusia 38 tahun itu adalah menatap jam dan semakin hampir dengan bulan Syawal, semakin keraplah dia merenung jam.
Tatapannya bukanlah sembarangan kerana sebagai seorang tukang membaiki jam, ketajaman penglihatan adalah aset yang amat penting untuk memastikan bahagian-bahagian kecil dalam seutas jam tangan berfungsi sempurna.
"Ketelitian dan kesabaran amat perlu dalam kerja-kerja membaiki jam tangan ini, selain kemahiran memanfaatkan peralatan, antara lain seperti kanta pembesar, alatan tekanan, set pelbagai jenis skru halus untuk pelbagai jenis jam," katanya kepada Bernama.
Berasal dari daerah Bau dekat sini, beliau mula berkecimpung dalam seni pembaikian dan pemuliharaan jam tangan mekanikal sejak berumur 18 tahun.
Walaupun tidak pernah menjalani kursus secara formal dalam bidang tersebut, ilmu yang ditimbanya setelah beberapa tahun bekerja di kedai-kedai jam di sekitar Kuching memberi keyakinan kepadanya untuk memulakan perniagaan sendiri.
Pada satu sudut di sebuah gedung beli-belah di Jalan P Ramlee di sini, Mohd Firdaus mengasaskan perniagaannya pada 2009 dengan mendirikan sebuah gerai kecil yang menyediakan perkhidmatan membaiki dan memulihara jam tangan mekanikal.
Bermula dengan rakan-rakan dan saudara-mara sebagai pelanggan, gerainya kian terkenal dalam kalangan warga bandar raya ini.
"Ada waktunya saya melayan sehingga 40 orang pelanggan sehari dan ketika ramai hendak berhari raya sekarang, ada yang datang membawa antara empat hingga lapan utas jam tangan untuk diservis," katanya.
Beliau mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu kemuncak pandemik COVID-19 dan trend masa kini yang cenderung kepada pemakaian jam pintar membawa cabaran baharu kepada perniagaannya.
"Tiada perniagaan yang tidak mencabar namun saya tetap meneruskan apa yang saya suka lakukan selama ini.
Saya tidak kisah menghadap jam, berjam-jam lamanya, untuk membaikinya, kerana keseronokan bagi seseorang tukang jam itu adalah apabila jam yang dibaikinya kembali hidup," ujar Mohd Firdaus yang meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
-- BERNAMA / Razali Nordin
#tukang baiki jam #Mohd Firdaus Abdullah #Kuching #kemahiran
;